PKR Pahang pantau jika ada kawasan pasang bendera putih

PKR Pahang mengarahkan semua jentera parti negeri itu memantau setiap kawasan sekiranya terdapat bendera putih bagi memastikan penduduk dapat dibantu dengan segera. (Gambar kecil: Wan Fauzuldin)
PKR Pahang mengarahkan semua jentera parti negeri itu memantau setiap kawasan sekiranya terdapat bendera putih bagi memastikan penduduk dapat dibantu dengan segera. (Gambar kecil: Wan Fauzuldin)
A
A
A

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang mengarahkan semua jentera parti di seluruh negeri itu memantau setiap kawasan sekiranya terdapat bendera putih.

Ketua Komunikasi PKR Pahang, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, tindakan itu bagi memastikan mereka dapat dibantu dengan segera.

"Terus kibarkan bendera putih jika anda perlukan bantuan kerana tiada undang-undang yang melarangnya. Insya-Allah, kami akan sampai ke rumah anda," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Fauzuldin berkata, isu bendera putih tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia membabitkan isu rakyat yang berdepan kesukaran hidup susulan pandemik Covid-19.

"Sewajarnya membantu mereka yang mengibarkan bendera putih kerana ia isyarat bahawa bantuan segera diperlukan.

"Mengapa perlu takut kepada bendera putih? Apakah bimbang semakin ramai mengibarkan bendera putih membuktikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah gagal," bidas beliau.

Pada Khamis, tular mengenai tindakan pihak berkuasa yang didakwa mengugut penduduk di Bukit Setongkol di sini, supaya menurunkan kibaran bendera putih yang dinaikkan.

Pada Jumaat, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menafikan dakwaan itu sebaliknya penduduk diminta menurunkan bendera tersebut kerana dipasang pada tiang elektrik.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada ugutan, hanya diminta turunkan bendera putih pada tiang elektrik

Penduduk dakwa diugut turunkan bendera putih

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!