Polis nafi dakwaan kompaun individu hantar bantuan

Omar Bakhtiar Yaacob
Omar Bakhtiar Yaacob
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis menafikan dakwaan bertindak secara tidak adil dengan mengeluarkan kompaun terhadap individu yang menghantar bantuan kepada penduduk di kawasan pedalaman di daerah Kuala Kangsar.

Menerusi video yang tular di media sosial, seorang pemanggil di saluran radio tempatan menceritakan kesukaran segelintir masyarakat yang tidak mendapat bantuan sewajarnya dan polis telah mengenakan kompaun terhadap rakannya ketika itu memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, semakan yang dijalankan mendapati dakwaan individu tersebut tidak benar apabila tiada kompaun dikeluarkan atas alasan menghantar bantuan.

"Polis hanya mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan-kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) iaitu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 serta undang-undang sedang berkuasa kuasa.

"Polis percaya ia berpunca daripada salah faham individu tersebut kerana dikompaun atas kesalahan melanggar SOP setelah selesai menghantar bantuan dan bukannya atas kesalahan menghantar bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, polis bagaimanapun telah mengambil tindakan untuk menyiasat perkara ini.

Omar Bakhtiar berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang prihatin dalam memberikan bantuan serta bersama menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

"Pada masa sama, masyarakat perlu mematuhi segala SOP dan arahan keselamatan yang dikeluarkan bagi mengelak berlakunya jangkitan dan penyebaran Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebar sebarang berita tidak sahih menerusi media sosial kerana ia satu kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!