Peniaga barangan antik, teman wanita dalang sindiket dadah

Mustafa Kamal (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Sabtu.
Mustafa Kamal (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang peniaga barangan antik berusia 42 tahun ditahan bersama teman wanita warga China selepas didapati terlibat dengan sindiket memproses dadah dalam tiga serbuan di sini pada 1 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, selain suspek yang merupakan dalang sindiket itu, turut ditahan adalah dua rakan lelakinya.

Menurutnya, dalam serbuan yang bermula jam 5 petang itu, polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan Sungai Pinang, di sini.

"Dalam tangkapan itu, kita merampas sejumlah pil eramin 5, serbuk MDMA, ketamin, ganja dan pil ekstasi. Susulan tangkapan itu, kita menahan dua lelaki lagi di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Perak.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah pil eramin 5 di dalam kereta terbabit. Kedua-dua tangkapan berusia 39 dan 42 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini pada Sabtu.

Katanya, selepas tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat di Bukit Gambir dan menahan seorang wanita warga China berusia 32 tahun.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, kita menjumpai pil eramin 5, syabu, serbuk MDMA, pil ekstasi, mesin dan peralatan memproses pil ekstasi di bahagian dapur tingkat bawah rumah sewa tersebut.

"Wanita ini adalah teman wanita kepada dalang sindiket dan dia tinggal di rumah tersebut bersama teman lelakinya. Dipercayai wanita tersebut mahir dalam memproses dadah sebelum dijual kepada pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di lokasi berbeza pada 1 Julai lalu.
Dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di lokasi berbeza pada 1 Julai lalu.

Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas dalam ketiga-tiga serbuan bernilai RM398,352 melibatkan 1,470 biji pil eramin 5, 1.5 gram ketamin, 6,219 gram MDMA, 23 gram syabu dan 11 gram ganja.

"Kita turut menyita barang kemas dan kereta Honda City yang bernilai RM28,340. Jumlah keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM426,692. Kesemua tangkapan direman lima hari sehingga 6 Julai untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan pertama yang berusia 29 tahun bekerja sebagai peniaga durian dan tiada rekod lampau. Selain itu, ujian saringan air kencingnya negatif dadah," katanya.

Ujarnya, tangkapan kedua yang merupakan peniaga makanan (39 tahun) mempunyai dua rekod jenayah dan lima rekod dadah manakala ujian saringan air kencingnya positif.

"Dalang sindiket itu mempunyai satu rekod jenayah melibatkan dadah dan ujian saringan air kencingnya positif methamphetamine.

"Sementara itu, teman wanitanya yang tiada pekerjaan tidak mempunyai rekod jenayah selain ujian saringan air kencingnya juga negatif," katanya.

Mustafa Kamal berkata, sindiket itu beroperasi sejak awal tahun ini yang menyasarkan pasaran tempatan.

"Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 22,347 penagih jika terlepas ke pasaran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!