Imuniti kelompok di Pulau Pangkor perlu disegerakan
LUMUT - Kerajaan dicadang mempercepatkan proses vaksinasi di Pulau Pangkor bagi memastikan 80 peratus penduduk di pulau pelancongan bebas cukai itu divaksin bagi mencapai imuniti kelompok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, status imuniti kelompok itu perlu dicapai bagi membolehkan gelembung pelancongan dapat dilaksanakan sekali gus membuka semula aktiviti penduduk setempat.
Menurutnya, statistik terkini menunjukkan kadar vaksinasi kalangan penduduk di kawasan itu baru mencapai sekitar 2,000 orang berbanding hampir 8,000 penerima keseluruhan yang layak.
"Saya telah kemukakan kepada (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan), Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) supaya penduduk Pulau Pangkor diberikan vaksin sehingga mencapai imuniti kelompok.
"Apabila dapat capai peringkat itu, bermakna kawasan itu sudah boleh dipertimbangkan untuk kegiatan ekonomi yang mana kita tahu akan melibatkan pelbagai sektor yang berantaian bermula daripada perusahaan jeti, teksi, penjaja, hotel, industri makanan sehinggalah kumpulan nelayan," katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa kebakaran di Fasa 2F, Seri Manjung di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan itu mendapat maklum balas yang positif daripada menteri berkenaan dan sedia untuk dipertimbangkan.
"Beliau beri jawapan akan pertimbangkan sebaiknya dan saya harap ia dapat dilakukan segera, jika dapat dalam bulan ini lebih baik," katanya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berharap lebih banyak pulau peranginan di negara ini disenaraikan sebagai Destinasi Bebas Covid-19 selain Pulau Langkawi yang menjadi destinasi rintis dalam Pelan Pemulihan Pelancongan yang sedang dilaksanakan kerajaan sekarang.
Katanya, untuk mencapai tahap imuniti kelompok secara keseluruhan mungkin mengambil masa berbulan-bulan, maka idea seperti di Langkawi itu boleh dijadikan contoh kerajaan menggunakan pendekatan gelombang pelancongan di kawasan pulau peranginan lain, supaya rakyat di kawasan itu boleh memulakan aktiviti mereka.
"Ini secara tidak langsung membolehkan pelancong-pelancong datang sepertimana yang kita lihat eksperimen dilakukan di beberapa negara seperti di Phuket, Thailand.
"Dalam konteks negara kita, kerajaan boleh pertimbangkan seperti Pulau Pangkor, Tioman dan Labuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!