Lelaki sakit jiwa tikam isteri dan anak
BLITAR - INDONESIA. Seorang lelaki dari Dusun Sumbermanggis, Desa Sumberurip Kecamatan Doko yang dikatakan menghidap gangguan jiwa bertindak menikam hingga mati isteri dan anak kandungnya menggunakan pisau dapur.
Dalam kejadian 16 Februari lalu, Nardian yang dipercayai mengalami depresi setelah mendalami ilmu kebatinan, membunuh isterinya, Sri Dewi berusia 29 tahun dan anak kandungnya, Vika Nadhira.
Suspek yang dimasukkan ke Hospital Bhayangkara Kediri sejak Isnin lalu, belum dibawa mendapat rawatan ke Rumah Sakit Jiwa (RSJ) Lawang, walaupun pemerhatian psikiatrik oleh pasukan perubatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu menghidap gangguan jiwa.
Menurut polis, Nardian masih ditempatkan di lokap polis di Blitar dengan penjagaan ketat kerana belum menerima surat rasmi dari pihak hospital.
"Kami masih menunggu surat rasmi yang dikeluarkan Hospital Bhayangkara Kediri. Informasi yang kami terima, hasil pemerhatian mendapati suspek mengalami gangguan jiwa," kata Pegawai Perhubungan Polis Blitar, Iptu M Burhanudin ketika ditemuramah Detikcom. - Detikcom
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!