Op Patuh: Tiga kilang, 12 pekerja dikompaun di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU - Kilang beroperasi tanpa kebenaran, pekerja melebihi had dibenarkan dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antara kesalahan yang dikesan dalam Op Patuh yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu pada Sabtu.
Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan Manggatal dan Inanam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebanyak 10 kilang diperiksa dan tiga daripadanya bersama 12 pekerja dikenakan kompaun.
"Kilang yang diperiksa hari ini adalah membabitkan industri besi, produk plastik dan minuman serta polistren.
"Hasil pemeriksaan, sebanyak tiga kilang didapati beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala 12 pekerja tidak mematuhi SOP, tidak mengimbas MySejahtera selain jumlah pekerja melebihi kapasiti dibenarkan," katanya ketika menyertai operasi itu pada Sabtu.
Mohd Zaidi berkata, kebanyakan kilang yang dikenakan kompaun mengaku kurang faham mengenai SOP yang ditetapkan.
"Semalam (Jumaat) kita menjalankan operasi terhadap lapan kilang di kawasan sama, namun tiada sebarang kesalahan dikesan.
"Kita berharap semua kilang-kilang yang beroperasi mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!