Ada perbezaan SOP PKPD di Kuala Lumpur dan Selangor
KUALA LUMPUR - Barangkali penduduk di Lembah Klang pada Sabtu membayangkan mereka akan 'dikawal' kawat berduri, sebaik kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari hingga 16 Julai seperti berlaku di sesuatu kawasan sebelum ini.
Namun tinjauan Bernama mendapati, terdapat perbezaan prosedur operasi standard (SOP) antara mukim yang dikenakan PKPD di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika diminta mengulas perbezaan SOP antara dua negeri itu berkata, PKPD di Kuala Lumpur adalah bersandarkan kepada lokaliti berbanding mengikut mukim di Selangor.
“Di Selangor tiada pemasangan kawat besi, namun tumpuan diberikan dengan mempertingkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR), manakala di Kuala Lumpur jumlah SJR dikekalkan, tetapi lokaliti terbabit dipasang kawat berduri.
“Setakat ini, kita ada 17 sekatan jalan raya, tetapi kita ada elemen-elemen lain yang akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di PKPD Taman Bukit Angkasa di sini pada Sabtu.
Azmi berkata, sehingga kini terdapat 19 kawasan yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur melibatkan lima lokaliti di Lembah Pantai, lapan lokaliti di Wangsa Maju, Cheras (dua), Sentul (empat), dengan kira-kira 800 anggota polis ditugaskan secara bergilir-gilir, mengawal kawasan-kawasan itu.
Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota pada Sabtu mendapati terdapat beberapa lokaliti yang dikenakan PKPD tidak dipasang kawat duri seperti prosedur sebelum ini, antaranya empat blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, namun blok itu dikawal rapi dan diletakkan pita garisan polis.
Wakil rumah rumah yang dibenarkan keluar bermula jam 10 pagi hingga 2 petang juga perlu melaporkan diri di pondok polis sementara di setiap blok, berhampiran pintu keluar bangunan.
Sementara itu, antara kawasan PKPD yang dipasang kawat duri adalah Taman Koperasi Polis (Fasa 1&2) dan PPR Kampung Baru Air Panas.
Minggu lalu Majlis Keselamatan Negara memutuskan, melaksanakan PKPD di Selangor melibatkan 34 mukim di lapan daerah iaitu daerah Petaling; Hulu Langat; Sepang; Gombak; Kuala Langat; Klang; Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Di Kuala Lumpur pula beberapa dikenakan PKPD antaranya PPR Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 1 dan 2 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2) dan Flat Sri Sabah, selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai.
Pada Jumaat, media melaporkan penguatkuasaan di kawasan PKPD sekitar Kuala Lumpur akan menggunakan pemasangan kawat duri dan penghadang jalan, berbeza dengan penugasan kawalan PKPD di Selangor yang akan menumpukan penugasan SJR.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya akan menggunakan 80 peratus kekuatan daripada hampir 14,000 anggota dan pegawainya bagi operasi pematuhan SOP di kawasan mukim PKPD untuk memastikan tiada individu yang merentas kawasan.
Katanya, 120 hingga 140 sekatan jalan raya yang dijalankan, polis akan memperbanyakkan sekatan jalan raya secara bergerak atau ‘snap check’.
Sementara itu, ada antara penduduk melahirkan kekeliruan berkenaan SOP pelaksanaan PKPD tersebut antaranya pekerja penghantar makanan Mohd Zabidi Mohd Zaid, 32, yang keliru tentang kebenaran untuk keluar bekerja.
“Saya masih samar-samar berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak dibenarkan, misalnya hari ini saya diberitahu tidak dibenarkan bekerja dan hanya dibenarkan keluar untuk hal kecemasan melibatkan kesihatan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!