Pemulih: Bukti kerajaan ambil berat kebajikan rakyat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu membuktikan kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan rakyat.

Ketua-Ketua Penerangan Parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerusi kenyataan bersama memaklumkan, semua jentera parti yang mereka wakili akan memainkan peranan dalam memastikan mesej mengenai pakej bantuan berkenaan betul-betul sampai kepada rakyat.

“Justeru, kami menyeru seluruh lapisan rakyat segera mengambil manfaat daripada setiap insentif yang disediakan.

“Antara insentif yang disediakan adalah moratorium tanpa syarat kepada semua peminjam individu. Tawaran ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak bank bagi meringankan bebanan rakyat yang terjejas pendapatan.

“Namun dinasihatkan agar peminjam tidak menambah komitmen kewangan lain jika tidak terdesak,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan bersama itu membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Kamaruzaman Mohamad (Pas); Chin Vui Kai (SAPP); Jeffrey Kumin (STAR); Koo Shiaw Lee (Gerakan); Datuk V Gunalan (MIC); Chan Quin Er (MCA); Khairin Bador (PBRS); Yong Li Na (PDP); Datuk Julita Majungki (PBS); Datuk Idris Buang (PBB) dan Adam YII (SUPP).

Mengulas lanjut, mereka berkata, golongan yang terjejas boleh memanfaatkan program Bantuan Bakul Makanan yang diperuntukkan kepada semua ahli Parlimen.

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat mengenai pakej bantuan ini daripada Pusat Khidmat Masyarakat ahli Parlimen masing-masing,” kata mereka.

Artikel Berkaitan:

Tambah mereka, masing-masing akan terus membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan memperkasakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan kita melawan Covid-19.

“Justeru, kami menyeru semua pihak bersama-sama dalam memerangi wabak Covid-19. Jika kita bekerja bersama, kita akan menang bersama,” kata mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!