ASEAN masih relevan hingga kini
PADA pertengahan Mei 2021, beberapa bekas ahli Parlimen dan yang masih berkhidmat dari rantau Asia Tenggara telah menggesa pembentukan organisasi alternatif daripada ASEAN.
Mereka berpendapat ASEAN yang terdiri daripada 10 negara anggota sudah ketinggalan zaman dan gagal mempertahankan demokrasi serta hak asasi manusia di Asia Tenggara.
Sebaliknya, mereka telah melancarkan Komuniti Asia Tenggara atau South East Asia Community (SEAC).
Mereka menekankan bahawa ASEAN telah gagal berkembang sejak ia dibentuk lebih 50 tahun lalu.
Namun, SEAC adalah organisasi bukan kerajaan yang dianggotai oleh individu berkepentingan bukanlah organisasi antara kerajaan seperti ASEAN.
SEAC telah meluahkan ketidakpuasan ASEAN menangani krisis di Myanmar. Mereka menyeru sudah tiba masa agar ASEAN menggugurkan dasar tidak campur tangan.
Malah, ada anggota SEAC berpendapat ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 ketika Perang Dunia telah mencapai objektif penubuhannya, namun tegasnya dunia telah berubah dengan drastik dalam tempoh 50 tahun lalu.
Ada anggota SEAC mengakui ASEAN telah berusaha untuk meningkatkan kerjasama bagi membangunkan infrastruktur, pasaran bersama dan mengatasi masalah kesihatan.
Bagaimanapun, mereka mengkritik ASEAN masih tidak berjaya melindungi kebebasan politik dan hak asasi manusia. Maka, timbul persoalan sejauh mana ASEAN masih relevan pada masa kini?
Sememangnya mudah untuk mengkritik ASEAN telah gagal menegakkan hak asasi dan memperjuangkan pendemokrasian di rantau Asia Tenggara tetapi terdapat beberapa hakikat perlu dipertimbangkan.
Pertama, sejak tamat Perang Dunia Kedua dan proses dikolonialisasi, rantau Asia Tenggara telah menyaksikan kemunculan dan kejatuhan rejim autokratik seperti campur tangan tentera di Indonesia, Thailand, Kemboja serta pemerintahan diktator.
Malah, sehingga kini masih ada pemerintahan menggunakan kaedah autokratik, misalnya di Filipina – pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte dalam usaha memerangi masalah dadah – menggalakkan pembunuhan penjenayah tanpa melalui proses pembicaraan.
Pemerintahan autokratik sudah menjadi sebahagian daripada politik dan kerajaan di Asia Tenggara sejak tahun 1945.
Bagaimanapun, ia tidak bererti kita harus membenarkan fenomena itu berterusan.
Justeru, ASEAN melalui Piagam ASEAN telah menegaskan hasratnya untuk menegakkan undang-undang antarabangsa berkenaan dengan hak asasi manusia dan keadilan sosial.
ASEAN telah menubuhkan Suruhanjaya ASEAN Antara Kerajaan mengenai Hak Asasi Manusia atau ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) tetapi agak mustahil bagi ASEAN yang anggotanya terdiri dari negara-negara Asia Tenggara yang sedang menghadapi masalah autokratik di politik domestik terutama dalam kalangan pemimpinnya untuk mengatasi masalah tersebut sepenuhnya.
Kedua, ASEAN adalah satu-satu organisasi di Asia Tenggara yang diterima oleh semua kuasa besar tidak kira Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, Jepun mahupun India.
Ia kerana dasar berkecuali yang sudah menjadi tonggak utama ASEAN sejak Persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada 1971.
Salah satu kejayaan ASEAN adalah kebolehan mengekalkan dasar berkecuali dan tidak memihak.
Ia adalah kekuatan ASEAN, malah sehingga hari ini tiada mana-mana organisasi boleh menggantikan fungsi ASEAN dan dapat diterima semua pihak.
Jika AS dan sekutunya seperti Jepun dan Australia cuba mempromosikan suatu organisasi baru, misalnya Quadrilateral Security Dialogue (QUAD) sudah pasti akan ditolak oleh China.
Walaupun ramai mengkritik ASEAN kononnya bertindak terlalu perlahan dalam menghadapi krisis, namun mereka perlu sedar setiap anggota ASEAN adalah negara berdaulat.
Amat sukar untuk entiti luar memaksa mana-mana negara melakukan sesuatu yang mereka enggan. ASEAN hanya mampu menegur dan berdialog dengan rejim autokrasi seperti Myanmar.
Ketiga, di sebalik kritikan bahawa ASEAN bertindak perlahan, sebenarnya sifat ‘perlahan’ itu adalah salah satu kekuatan ASEAN.
Tidak bertindak secara mendesak dan tergopoh-gopoh, sesuatu isu atau krisis akan reda dan kemudian dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Penubuhan SEAC dialu-alukan sebagai sebahagian usaha masyarakat sivil untuk memperkukuhkan kerjasama rantau, namun ASEAN masih tetap relevan.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!