Pengusaha kantin jual nasi Arab bantu pekerja
BENTONG - Tidak mahu pekerjanya kehilangan pendapatan, seorang pengusaha kantin mengambil inisiatif menjual set nasi talam Arab yang diusahakan di bengkel dapurnya di Felda Mempaga 1 sejak dua bulan lalu.
Sebelum ini, Siti Azraf Abdul Rahim, 39, mengusahakan kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebu dan kafe di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Lanchang.
Menurut Siti Azraf, beliau mengambil inisiatif itu selepas pendapatannya terjejas akibat Covid-19 selain ingin membantu beberapa pekerja kantin yang kurang berkemampuan.
"Saya tidak mahu mereka hilang gaji dan buat masa ini saya hanya dapat mengupah tiga daripada 10 pekerja untuk beroperasi di stor dapur ini," katanya pada Sinar Harian pada Sabtu.
Siti Azraf berkata, bengkel dapur itu akan beroperasi lima hari dalam seminggu dan membayar gaji pekerja secara harian iaitu RM40 hingga RM50 seorang.
"Selain set nasi Arab yang dijual dengan harga RM50 bagi seekor ayam serta RM30 (separuh ayam), saya juga menjual spaghetti, donut, laksa Johor dan bomboloni," katanya.
Beliau berkata, setakat ini sambutan diterima menggalakkan dan berharap pandemik Covid-19 cepat reda supaya pengusaha yang terjejas sepertinya dapat meneruskan operasi masing-masing.
"Memang kesan pandemik ini sangat dirasai buat pengusaha seperti kami tetapi usaha tetap kena ada supaya dapat teruskan kesinambungan hidup," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!