Bangunan busuk jadi penempatan, sarang pelacuran warga asing
KUALA LUMPUR - Sebuah bangunan penempatan warga asing di Pudu yang juga dipercayai sebagai sarang pelacuran digempur pada Sabtu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula jam 5 petang itu mendapati bangunan yang didiami majoriti warga asing itu kotor selain tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Menurut beliau, seramai 245 individu telah diperiksa dan 43 lelaki serta 29 wanita ditahan.
"Kesemua warga asing dari pelbagai negara itu berusia 25 hingga 50 tahun.
"Mereka juga cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang dinding yang telah diubah suai. Bagaimanapun, semua cubaan itu gagal.
"Pegawai operasi terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakan penghuni rumah tidak memberikan kerjasama dan menyorok di dalam rumah serta mematikan lampu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, serbuan berkenaan juga mendapati bangunan yang dipenuhi sampah itu dipercayai menjadi sarang pelacuran melibatkan wanita warga asing dan sudah beberapa kali diserbu sebelum ini.
"Semakan terhadap kesemua tangkapan mendapati antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.
Tegasnya, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama agensi yang lain di bawah Op Patuh yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Operasi penguatkuasaan yang dijalankan bukan sahaja untuk mengesan dan menangkap pendatang haram dan individu yang bersekongkol dengan mereka, malah operasi juga bertujuan mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!