PKPD: Penduduk KL dibenarkan ke PPV temujanji vaksinasi

Azmi Abu Kassim
Azmi Abu Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di kawasan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur yang mempunyai janji temu vaksinasi dibenarkan keluar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi tujuan vaksin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, walaubagaimanapun, penduduk-penduduk di kawasan PKPD yang telah dipakaikan gelang pink dan menunggu keputusan ujian saringan tidak dibenarkan keluar untuk urusan vaksinasi.

"Bagi memudahkan urusan penduduk-penduduk di kawasan PKPD tersebut, kita menasihatkan mereka supaya menyemak serta mendapatkan maklumat dengan pegawai bertugas di kawasan PKPD tersebut atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) masing-masing sekiranya timbul sebarang masalah atau kekeliruan," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Azmi berkata, ia bertujuan untuk mengelakkan penduduk-penduduk PKPD mendapat maklumat yang tidak tepat.

"Kita juga ingin menekankan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) khusus PKPD di Kuala Lumpur yang membenarkan penduduk keluar dari kawasan berkaitan atas sebab yang membabitkan sektor keselamatan, kesihatan, kecemasan serta kebajikan," ujar beliau yang terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh masyarakat.

"Bersama-sama kita berusaha untuk mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran," katanya.

Pada Sabtu, Kerajaan telah melaksanakan PKPD ke atas 14 lokaliti di Kuala Lumpur bagi tujuan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD adalah membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flet Seksyen 2 Wangsa Maju, Flet Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2), Flet Sri Sabah, Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flet Desa Pandan (termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinci, Bandar Baru Sentul dan Jalan Ikan Emas.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!