Dakwa langgar SOP, Ahli Parlimen Pokok Sena disiasat
ALOR SETAR - Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa satu.
Ia susulan beberapa gambar yang tular di media sosial memaparkan bekas Timbalan Menteri itu hadir dalam program bantuan dan tidak mengamalkan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika majlis berlangsung.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima satu laporan polis berkaitan gambar tular terbabit melibatkan seorang ahli Parlimen Kedah yang didakwa melangar SOP pada Sabtu.
“Pada jam 11.36 malam, polis menerima satu laporan polis dan hasil siasatan awal mendapati terdapat beberapa keping gambar dimuat naik pemilik akaun Facebook, Nurul Amin Hamid yang memaparkan seorang ahli Parlimen di Kedah dalam satu program,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan disiasatdi bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan berkumpul di tempat awam.
“Beliau turut disiasat di bawah Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak memakai pelitup muka serta tidak menjaga penjarakan sosial,” katanya.
Sejak Sabtu, tular di media sosial beberapa gambar ahli Parlimen berkenaan menyantuni 35 keluarga dari beberapa kampung dengan pemberian 'Bakul Rahmah' kepada keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Turut kelihatan gambar beliau duduk bersila secara santai berbual sambil menikmati minuman petang yang menimbulkan kemarahan netizen.
Mahfuz ketika dihubungi menjelaskan, beliau bersedia memberikan kerjasama kepada polis berhubung dakwaan dikaitkan dengan dirinya.
“Polis sudah pun buka siasatan, saya hormati keputusan itu dan sedia beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Mahfuz turut berharap kes berkenaan disiasat secepat mungkin dan tidak perlu dipanjangkan sehingga ke peringkat lebih tinggi.
“Saya harap polis siasat kes saya ini seperti rakyat biasa, kalau perlu dikenakan kompaun pun saya bersedia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!