Ketengah wujudkan 17 lokasi vaksinasi Covid-19
KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan 17 tempat yang sesuai dan strategik untuk dijadikan lokasi program outreach pemberian vaksin Covid-19 bagi memudahkan penduduk di wilayah itu mendapat suntikan.
Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya bersetuju mengadakan lebih banyak program suntikan vaksin secara outreach kerana pendekatan itu dilihat sesuai dengan penduduk wilayah Ketengah berbanding Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menurutnya, cadangan yang turut mendapat sokongan dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu sebagai usaha memastikan sasaran 80 peratus penduduk Ketengah mendapat suntikan vaksin Covid-19 pada penghujung Ogos dapat dicapai.
“Dalam wilayah Ketengah belum ada PPV, kita ada cadang lima tempat dan ia dalam proses. Apabila kita lihat program outreach lebih berjaya jadi kita cadangkan lebih banyak outreach dibuat berbanding PPV dan sediakan 17 tempat outreach dalam wilayah Ketengah.
“Dalam dua hari program outreach diadakan di Ketengah sebelum ini, suntikan vaksin sudah pun mencecah 7,000 orang,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan kategori media di Ketengah Holding, di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Presiden Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman (Karyawan), Zaid Salim.
Razali berkata, program outreach melibatkan lima dan enam kampung di kawasan Ketengah sebelum ini merekodkan 90 peratus penduduk dapat hadir sendiri menerima suntikan vaksin manakala selebihnya dihantar oleh sukarelawan Ketengah.
Katanya, dianggarkan 70,000 hingga 80,000 penduduk yang tinggal di wilayah Ketengah layak menerima suntikan vaksin dan daripada jumlah itu seramai 28,000 orang sudah pun mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
“Kita jangka dalam masa dua minggu lagi semua penduduk yang layak divaksin akan mendaftar dalam MySejahtera dan bagi menjayakan program ini, Ketengah gunakan pelbagai aset agar 80 peratus penduduk Ketengah dapat disuntik akhir Ogos ini,” katanya.
Sebagai rekod, Ketengah sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membantu melancarkan urusan pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera dalam kalangan penduduk di tiga wilayahnya.
Jawatankuasa khas dinamakan ‘Stay Safe-Ketengah Region’ (S-Reg) yang dianggotai 200 sukarelawan itu giat turun padang ke Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu untuk membantu penduduk yang berdepan kekangan menggunakan aplikasi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!