Bomba bina empangan elak bahan kimia mengalir ke sungai

Jengkaut digunakan bagi menutup tumpahan sisa bahan kimia daripada tangki yang bocor dari mengalir keluar ke parit dan sungai yang berdekatan di stor penyimpan bahan tersebut di Kampung Baru Sengkang Kulai hari ini. Foto Bernama
Jengkaut digunakan bagi menutup tumpahan sisa bahan kimia daripada tangki yang bocor dari mengalir keluar ke parit dan sungai yang berdekatan di stor penyimpan bahan tersebut di Kampung Baru Sengkang Kulai hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membina tiga empangan kecil berjaya memerangkap tumpahan bahan kimia dari sebuah stor di Kampung Baru, Sengkang mengalir ke sungai berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Tinggi Bahtiar Selamat berkata, empangan kecil itu dibina kira-kira jam 9 malam Sabtu bagi memerangkap sisa kimia daripada mengalir ke Sungai Sengkang dan Sungai Skudai.

"Pemeriksaan dilakukan anggota pada pagi ini (Ahad) mendapati empangan kecil yang dibina itu telah memerangkap tumpahan daripada memasuki sungai.

"Anggota bomba akan terus melakukan pemantauan di kawasan berhampiran bagi memastikan tiada tumpahan bahan kimia akan memasuki sungai," katanya di sini pada Ahad.

Menurut Bahtiar, lokasi tumpahan kimia tersebut terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan penduduk di Kampung Sengkang.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan sebuah tangki bersaiz 1,000 liter mengandungi bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang di sini pecah mengakibatkan bahan itu mengalir ke sungai berhampiran.

Tumpahan berkenaan dipercayai bahan kimia dari jenis methyltriocdylam monium chloride, hydrogen peroxide solution dan N-methyl cyclohexylamine, namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membuat pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, tinjauan di lokasi tumpahan mendapati keadaan di sekitar stor mengeluarkan bau yang memualkan, selain tumpahan bahan kimia berkenaan berwarna hitam pekat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!