Sekolah untuk komuniti, universiti untuk masyarakat
“SEKOLAH Untuk Komuniti, Universiti Untuk Masyarakat”. Inilah antara inti pati yang dapat penulis rakamkan hasil daripada ucapan Menteri Pendidikan pada amanat tahun 2019. Sudah pasti rata-rata para guru mampu menarik nafas lega apabila mendengar lima inisiatif baharu mengurangkan beban guru iaitu memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, pengurusan data dan sistem dalam talian, sekolah merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid, penyeragaman borang dan proses pemantauan serta penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.
Dalam agenda pendidikan inklusif ini, tumpuan diberikan terutamanya untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan orang kelainan upaya (OKU), golongan B40, Orang Asli dan kanak-kanak tanpa dokumen turut menerima pendidikan seperti murid yang lain. Mulai tahun ini juga, pintu institusi pendidikan akan terbuka seluas-luasnya kepada semua kanak-kanak yang berhak.
Dasar sifar penolakan
Kementerian juga telah menyatakan komitmen untuk memastikan setiap OKU menerima pendidikan sewajarnya. Antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan kemudahan mesra OKU secara berperingkat di sekolah, bermula dengan Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dan meningkatkan kerjasama antara Kementerian, syarikat korporat dan NGO berhubung penyediaan perkhidmatan pendidikan khas.
Hal ini termasuklah dengan melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-reject Policy) secara menyeluruh bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK). Ini bagi memastikan tiada murid dalam kalangan OKU yang dinafikan daripada memasuki alam persekolahan. Langkah ini diambil bagi memastikan golongan ini mendapat hak pendidikan yang sama seperti murid yang lain dan mengelakkan isu keciciran pendidikan dalam kalangan OKU.
Autonomi dan akauntabiliti
Antara inti pati lain adalah berkenaan pemberian autonomi kepada institusi pendidikan terutamanya sekolah. Pendekatan top-down dan one-size-fits-all dilihat tidak lagi relevan kerana setiap komuniti lebih memahami keperluan mereka sendiri dan perlu diberikan lebih ruang dan kepercayaan untuk membuat keputusan. Perlu diingat bahawa pemberian autonomi ini mesti juga hadir bersama dengan sikap kebertanggungjawaban yang tinggi (akauntabiliti) sekali gus menghasilkan pendidikan yang berkualiti.
Autonomi bukan sahaja tertakluk kepada pentadbiran, tetapi juga melalui usaha pihak sekolah dan universiti melibatkan pihak luar untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Kita perlu memperhebatkan penglibatan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, sama ada PIBG, alumni, NGO-NGO, agensi-agensi lain dan pihak swasta, agar penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal dapat difikirkan.
Penulis ingin menekankan bahawa pemerkasaan pemberian autonomi ini harus diperluas ke peringkat IPT juga. Pihak kementerian harus memandang keupayaan IPT dan memberikan autonomi sepenuhnya kepada IPT untuk menyelaras dan memilih kepimpinan tertinggi yang tepat. Sebagai contoh, pemilihan boleh dilakukan dalam kalangan profesor yang mempunyai kewibawaan dan kebijaksanaan tinggi. Ini secara tidak langsung menjadikan IPT satu institusi yang dihormati apabila warganya memberi keutamaan kepada kecemerlangan akademik, etika dan integriti.
Apabila pemberian autonomi ini benar-benar dihayati oleh warga IPT, pasti lebih ramai di kalangan para akademik akan berlumba-lumba menghasilkan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat. Usaha ini juga mampu menggalakkan IPT untuk menyuburkan budaya dialog, forum, debat, wacana dan program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara.
Pemberian autonomi dan kebebasan yang diberikan oleh pihak Kementerian tidak bermaksud bahawa warga IPT boleh melakukan apa sahaja yang dimahukan tanpa kawalan dan pemantauan. Etika sebagai pentadbir dan ahli akademik merupakan aspek yang sangat besar dan perlu ditekankan. Etika bekerja yang tidak baik, budaya plagiarisme, pembulian akademik mesti dihentikan. Integriti tidak akan dikompromi, termasuk pembasmian plagiarisme, bonceng gratis dan kegilaan menerbitkan artikel yang tidak berkualiti semata-mata ingin mengejar markah penerbitan.
Keupayaan pelbagai bahasa
Pihak Kementerian juga akan memperkenalkan Highly Immersive Programme(HIP) yang bertujuan membangunkan keupayaan bahasa Inggeris di sekolah bagi memupuk budaya pembelajaran serta penggunaan bahasa Inggeris yang positif dalam kalangan murid. Selain HIP dan program English for Preschool Teachers, terdapat pelbagai inisiatif program yang dilihat mampu menjadi pemangkin kecemerlangan bahasa Inggeris di institusi pendidikan di Malaysia. Sungguhpun begitu, warga pendidik juga mengharapkan supaya perkara yang sama dapat dilakukan demi untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai langkah penyatuan bangsa dan kekuatan jati diri masyarakat majmuk di Malaysia.
Semoga amanat tahun 2019 tersebut mampu menyuntik semangat buat warga pendidik dan para akademik di IPT dalam berusaha mempersiapkan diri untuk menjadi rujukan antarabangsa di dalam bidang masing-masing dan bukan lagi menjadi jaguh kampung sahaja. Karya-karya yang bermutu tinggi sama ada dalam bentuk artikel dan buku mesti dihasilkan dan diterjemah supaya proses pengilmuan dapat berjalan sehingga ke peringkat global. IPT juga secara tuntas perlu meningkatkan mobiliti profesor dan staf ke luar negara di samping lebih banyak ahli akademik dari luar negara berkunjung dan berkhidmat di dalam negara kita. Marilah sama-sama kita berganding bahu, kerana this is not a one man show!.
* Penulis ialah Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!