Krisis Venezuela: Tentera berpaling tadah bimbang keselamatan keluarga

Antara tentera Venezuela yang berpaling tadah terhadap kerajaan Maduro ditemuramah oleh BBC. - Foto BBC
Antara tentera Venezuela yang berpaling tadah terhadap kerajaan Maduro ditemuramah oleh BBC. - Foto BBC
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA . Lebih 100 anggota tentera Venezuela yang berpaling tadah terhadap Presiden Nicolas Maduro berasa bimbang akan keselamatan keluarga mereka.

Dalam temuramah bersama BBC, Orla Guerin, salah seorang anggota tentera yang berpaling tadah berkata, dia khuatir pihak berkuasa yang setia kepada kerajaan Maduro akan mencederakan ahli keluarganya.

"Namun, saya pasti ini keputusan terbaik yang saya pernah ambil," kata Guerin yang berpaling tadah ketika protes besar-besaran Sabtu lalu.

Seorang lagi tentera yang berpaling tadah berkata, hatinya berasa amat sedih melihat rakyat Venezuela bertempur sesama sendiri untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Tekanan konflik Venezuela semakin meruncing apabila Presiden Maduro mengerah tentera menyekat jalan raya dan jambatan di sempadan Brazil dan Colombia, di mana bantuan kemanusiaan pemberian Amerika Syarikat (AS) dijangka memasuki negara itu.

Pertempuran berdarah Sabtu lalu, antara penduduk awam dan pasukan tentera Venezuela, meragut dua nyawa dan mencederakan ratusan yang lain.

Sementara itu, pemimpin pembangkang Juan Guaido, yang menerima sokongan lebih 50 negara setelah mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden menggesa masyarakat antarabangsa mengambil segala langkah perlu bagi menggulingkan kerajaan Maduro.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pula menegaskan pemerintahan Maduro sudah menghampiri garis penamat dan beliau akan disingkirkan pada bila - bila masa.- BBC

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!