Pasang impian bantu keluarga melalui e-sukan
KEKURANGAN diri yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan empat tahun lalu bukan halangan buat Muhammad Azali Abdul Hamid untuk ‘aktif” melalui platform sukan elektronik (e-sukan) bagi menjana pendapatan selain memasang impian membantu meringankan beban kewangan.
Muhammad Azali, 23, yang merupakan bekas penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Shah Alam, Selangor berkata beliau menceburi sukan itu sejak tiga tahun lalu, namun mula aktif bermain 'Grand Theft Auto' September lepas dan dalam masa enam bulan mampu meraih pendapatan RM400.
“Saya aktif dalam bidang sukan ini tiga tahun lalu untuk isi masa lapang selepas apa yang berlaku pada diri saya.
Cuma, pada September tahun lalu, saya mula lakukan penstriman langsung melalui Facebook untuk jana pendapatan selepas dapat sokongan daripada rakan-rakan.
“Alhamdulillah, walaupun tidak banyak tapi saya nampak potensi bidang ini untuk dijadikan kerjaya dengan keadaan saya yang begini.
Saya juga harap boleh berjaya dan bantu ringankan beban keluarga selepas ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Anak bongsu daripada enam beradik yang hanya terlantar di rumah itu berkata seluruh ahli keluarga turut menyokongnya untuk terus aktif dalam sukan berkenaan dan ia juga menjadi terapi untuk beliau kekal positif dalam meneruskan kehidupan.
“Keluarga menjadi kekuatan pada saya terutama ibu, manakala abang sulung banyak bantu terutama dalam menyediakan semua peralatan komputer untuk memudahkan saya bermain dan buat penstriman,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Azali berkata buat masa ini beliau agak sukar untuk melakukan penstriman kerana capaian Internet di rumahnya agak perlahan seterusnya memberi kesan kepada pendapatannya dalam sukan tersebut dan berharap masalah itu dapat diatasi segera.
“Sudah empat bulan saya tidak dapat jana pendapatan melalui penstriman sebab Internet perlahan,” katanya.
Mengulas mengenai bentuk bantuan yang diperlukan, Muhammad Azali berharap ada pihak sudi untuk menyumbangkan katil elektrik bagi memudahkannya bergerak tanpa perlu meminta bantuan ahli keluarga.
“Keadaan saya yang lumpuh daripada bahagian bawah dada hingga kaki memang susah untuk bergerak sendiri selain sering mengalami kekejangan kaki dan untuk redakan kesakitan, saya terpaksa minta bantuan ahli keluarga untuk urut.
“Jadi, bila ada katil elektrik mudahlah (bergerak) sebab ia ada alat kawalan jauh.
Kalau berlaku kekejangan pun saya boleh gerakkan sendiri sebab fungsi katil itu fleksibel dan memudahkan pergerakan anggota badan terutama kaki,” katanya yang turut memasang cita-cita mewakili negeri dalam e-sukan suatu hari nanti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!