Jenayah curi motosikal di Segamat catat penurunan
SEGAMAT - Kadar jenayah curi motosikal bagi kawasan seliaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat mencatatkan penurunan pada tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, bagi tahun lalu, sebanyak 99 kes berkaitan kecurian kenderaan itu dilaporkan berbanding 129 kes pada tahun sebelumnya.
“Untuk 2018, IPD Segamat menerima laporan kecurian motosikal sehingga 99 kes iaitu penurunan sebanyak 30 kes berbanding 2017.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Segamat yang komited membanteras kumpulan ini,” katanya.
Namun, dalam masa sama, beliau juga meminta masyarakat untuk meningkatkan kawalan keselamatan pada motosikal mereka seperti penggunaan kunci pendua untuk menyukarkan pencuri bertindak.
“Selain itu, penduduk juga perlu kunci pagar kediaman mereka. Jangan hanya ditutup dengan selak yang mudah dibuka sebab penjenayah ini akan senang membawa lari kenderaan anda.
“Bila pagar dalam keadaan mangga, ia mengurangkan risiko kecurian motosikal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!