'Kuwait baharu' ibarat umpan tarik pelabur Malaysia

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA digesa memanfaatkan peluang perniagaan dan pelaburan seperti digariskan dalam Wawasan Pembangunan 2035 Kuwait, yang ketika ini sedang rancak berjalan ke arah menjadikan Kuwait sebagai hab perdagangan serta kewangan.

Duta Kuwait ke Malaysia, Saad Abdullah Al-Asousi, berkata wawasan jangka panjang itu, yang merupakan strategi pembangunan nasional bagi mengubah struktur ekonomi tradisional yang bergantung kepada minyak, menawarkan platform yang luas kepada pemain industri perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Kuwait termasuk dalam sektor teknologi maklumat, komunikasi, tenaga, pembinaan, pengangkutan dan perumahan.

“Kami (Kerajaan Kuwait) menyedari kesan pergantungan terhadap minyak, oleh itu pelan nasional ini diwujudkan bagi menunjukkan cara ‘Kuwait baharu’ dengan ekonomi yang lebih pelbagai.

“Kami memiliki projek mega dalam pelaksanaan yang semestinya berpotensi dan menarik. Kami sudah mempunyai beberapa negara yang telah melabur di Kuwait seperti Qatar, Jepun dan Turki namun belum melihat mana-mana syarikat dari Malaysia terutama syarikat besar dan korporat.

"Rantau ini (Kuwait) dengan projek berpotensi yang menguntungkan sudah pasti menjadi lokasi pilihan rakan sejawat perniagaan dari Malaysia, dan mereka amat dialu-alukan untuk melabur.”

Al-Sousi memaklumkan perkara ini kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya di sini baru-baru ini sempena Hari Pembebasan ke-58 Kuwait yang disambut pada 26 Feb setiap tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebuah badan khas dikenali sebagai Perbadanan Promosi Pelaburan Langsung Kuwait (KDIPA) telah dibentuk bagi menjawab pertanyaan pelabur asing dari seluruh dunia dan mempromosi negara Teluk itu.

Pengetahuan mendalam dan pemahaman KDIPA mengenai lanskap pelaburan negara itu akan memudahkan lagi semua perkongsian berpotensi dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Tidak syak lagi KDIPA mampu memenuhi pelbagai keperluan dalam menyediakan pertolongan dan bantuan yang diminta oleh para pelabur. Mereka harus memastikan bahawa semua proses berjalan lancar dan mudah tanpa kerumitan yang tidak diduga,” katanya sambil menambah sokongan dan input perbadanan itu menjadi garis panduan penting bagi membangunkan sektor ekonomi Kuwait setakat ini.

Dilancarkan pada 2017, Wawasan Pembangunan 2035 telah diilhamkan oleh Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah bagi membolehkan negara itu menarik pelaburan, membangunkan daya saing serta meningkatkan badan perundangan bagi menyokong sistem ekonomi dan sosial.

Semua usaha telah digerakkan bagi mencapai matlamat pelan itu menerusi tujuh tonggak utama dalam usaha mendorong transformasi Kuwait.

Tonggak itu ialah pentadbiran kerajaan yang cekap, ekonomi pelbagai dan mampan, infrastruktur selayaknya, persekitaran hidup lestari, penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, modal insan kreatif dan status antarabangsa yang terkenal.

Ditanya berkaitan kemajuan wawasan itu setakat ini, Al-Sousi berkata pelan tahunan bagi 2017-2018 dijadual diteruskan dengan 164 projek yang bakal menyumbang pendapatan sebanyak KWD50 bilion (US$164.66 bilion).

“Ini pasti akan membantu meningkatkan ekonomi negara dan mencapai kemajuan yang lebih pesat dalam pelan nasional," katanya.

KDIPA adalah pihak berkuasa awam khas yang bertanggungjawab membangunkan, mempromosi, menyokong dan mengawal pelaburan langsung di Kuwait.

Malaysia dan Kuwait menjalin hubungan diplomatik yang mesra sejak penubuhan kedutaan Malaysia di Kuwait City pada 1974 dan penubuhan kedutaan Kuwait di Kuala Lumpur pada 1980. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!