Usaha bersepadu bendung kemurungan, kes bunuh diri
ALOR SETAR - Usaha bersepadu badan-badan yang bertanggungjawab atas kesejahteraan fizikal dan sosial rakyat seperti Kementerian Pembangunan Keluarga dan Wanita serta jabatan agama perlu lebih agresif membendung krisis kecelaruan pemikiran akibat pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, antara usaha boleh dilakukan adalah mewujudkan atau menambah baik talian hotline melalui inisiatif kerajaan mahupun NGO untuk dihubungi individu yang terlalu tertekan dan perlukan bantuan sokongan menghadapi hari-hari sukar sepanjang pandemik.
Menurutnya, sokongan golongan profesional seperti kaunselor, ahli psikologi, doktor dan sebagainya harus sentiasa tersedia.
“Negara kita digemparkan dengan peningkatan kes bunuh diri yang dikaitkan dengan permasalahan tekanan perasaan, berputus asa seterusnya membawa kepada kemurungan.
"Perlu ada satu usaha bersungguh-sungguh dari semua agensi kerajaan termasuk penglibatan orang ramai untuk membantu setiap individu yang terkesan akibat wabak ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua kes bunuh diri setiap hari
Dr Azman berkata, masyarakat sekeliling juga boleh berperanan membantu manakala kerajaan perlu tuntas menambah baik sistem supaya isu kemurungan dan bunuh diri tidak menjadi 'budaya' selepas ini.
“Negara kita sebelum ini dikenali sebagai negara yang tinggi sopan santun dan adabnya, amat malang jika kes bunuh diri semakin meningkat, malah dari pandangan agama Islam kes seumpama ini amat dipelihara agar tidak berlaku,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu mengambil serius punca-punca yang menyebabkan rakyat berpotensi ke arah kemurungan kerana kesannya amat luar biasa sehingga berlakunya kes bunuh diri.
“Kesan daripada pandemik Covid-19 umpama bencana yang sudah berlanjutan lebih setahun. Impak yang ditanggung bukan kecil, ia melibatkan semua individu samada sektor awam, swasta mahupun pelajar.
"Isu bantuan kepada rakyat yang sangat perlahan, bantuan tidak mencukupi, moratorium bank yang dibelenggu syarat tertentu, hutang ah long yang membelit kehidupan, tekanan hidup, semua ini harus diperhalusi,” katanya.
Dr Azman berkata, tidak semua masyarakat mampu mengurus tekanan dengan baik kerana manusia dilahirkan tidak sama daya kemampuan dan pemikirannya.
“Sekarang sudah ada tahap di mana individu terpaksa melelong pakaian, barang peribadi dan paling menyedihkan apabila mengambil keputusan nekad mengambil nyawa sendiri.
"Sama ada suka atau tidak, inilah realiti. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dilaksanakan, pemohon bantuan meningkat secara drastik, melibatkan ramai dari kategori M40, ia perkembangan yang amat membimbangkan,” katanya.
Menurutnya, penutupan kilang serta industri yang menarik keluar pelaburan dari Malaysia juga wajar diambil serius kerana turut memberi kesan kepada ribuan pekerja yang hilang pekerjaan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mendedahkan negara merekodkan purata dua kes bunuh diri setiap hari bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021.
Kes bunuh diri dicatatkan pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 kes manakala 631 kes bagi tahun 2020.
Bagi tempoh lima bulan pertama iaitu Januari hingga Mei 2021, sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!