Bekalan makanan makin susut, suri rumah kibar bendera putih

Nur Husna terpaksa mengibarkan bendera putih selepas dia berasa risau memikirkan nasib tiga anaknya yang perlu dijaga. - Foto Bernama
Nur Husna terpaksa mengibarkan bendera putih selepas dia berasa risau memikirkan nasib tiga anaknya yang perlu dijaga. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Terdesak disebabkan bekalan makanan dan duit simpanan semakin susut, menjadi antara faktor menyebabkan seorang suri rumah terpaksa mengibarkan bendera putih di hadapan rumahnya, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini bagi meminta bantuan.

Menurut Nur Husna Mohd Room, 35, tindakan itu dibuat selepas dia berasa risau memikirkan nasib tiga anaknya yang perlu dijaga, apatah lagi suaminya kini berada di Melaka kerana mencari pekerjaan dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk pulang ke Johor Bahru.

Nur Husna berkata, ketiadaan suami di sisi sejak beberapa bulan lalu, disebabkan penutupan kilang yang memaksa suaminya berhenti kerja, sedikit sebanyak menganggu emosinya sebagai ibu yang perlu mengurus tiga anak secara sendirian.

“Mula-mula memang malu (kibar bendera putih) tetapi dengan sokongan jiran dan apabila fikir balik buat apa nak malu.

Jadi terpaksa buang perasaan itu sebab saya dan anak-anak memang dalam keadaan susah.

Ini pun bersyukur kerana ketua blok dan jiran ada datang menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini pada Isnin.

Sementara itu, seorang warga emas yang juga menetap di PPR Desa Mutiara, R. Saroginy, 68, berkata, dia juga terpaksa membuang perasaan malu untuk mengibarkan bendera putih, demi meneruskan kelansungan hidup dalam menyara dua daripada empat anaknya, yang menghadapi masalah mental.

“Saya hanya bekerja sebagai tukang cuci dan tinggal di rumah yang ditanggung oleh majikan.

Pada masa sama saya perlu jaga seorang anak, perlu membawanya ke hospital untuk rawatan menaiki teksi atau Grab, mujur seorang lagi yang menghadapi masalah mental tinggal di Hospital Permai,” kata Saroginy yang juga seorang ibu tunggal.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Nur Husna dan Saroginy menerima bantuan daripada pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave), yang melancarkan kempen kibarkan bendera putih di bawah inisiatif program Econsave Prihatin pada awal bulan ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, usaha ini akan diteruskan bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara, yang mengalami kesusahan tatkala berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Setakat ini lebih 200 keluarga di Johor telah mendapat inisiatif ini, manakala di seluruh negara kita sudah salurkan bantuan kepada 500 keluarga,” katanya menambah antara barangan yang dihulurkan termasuk beras, tepung, gula, kopi, biskut, telur, sardin dan sayur-sayuran.

Dalam pada itu Mas Imran turut meminta orang ramai, untuk mengambil gambar dan kongsikan alamat individu yang dikenal pasti menaikkan bendera putih kepada Econsave, di talian 016-2137387 atau memuat naik maklumat tersebut di Facebook rasmi EconsaveMY. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!