Bekas Presiden Afrika Selatan enggan serah diri untuk dijel
NKLANDLA - Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma enggan menyerah diri kepada pihak berkuasa untuk dipenjarakan selama 15 bulan setelah beliau didapati bersalah menghina mahkamah, katanya pada Ahad.
"Tidak perlu untuk saya pergi ke penjara hari ini (Ahad)," katanya kepada wartawan di rumahnya di Nklandla, wilayah Kwa-Zulu Natal.
"Mereka (pihak berkuasa) tidak menerima dokumen saya dan mengharapkan saya pergi ke penjara," katanya yang merujuk kepada dokumennya yang mencabar hukuman jel itu.
Beliau dan pasukan perundangannya sebelum ini telah menulis surat bagi merayu tentang kes menghina mahkamah itu dengan menyatakan hukuman jel tersebut adalah silap.
"Menghantar saya ke penjara semasa kemuncak pandemik Covid-19 ketika umur saya (79 tahun) adalah sama seperti hukuman mati," tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP.
Zuma dihukum penjara kerana menghina mahkamah pada Selasa lalu selepas beliau enggan untuk hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan terhadap tuduhan rasuahnya.
Satu jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan pada tahun 2018 bagi menyiasat dakwaan rasuah terhadapnya dan sebanyak 40 saksi sudah memberikan keterangan.
Pihak mahkamah sebelum ini memberikan masa selama lima hari kepadanya bagi menyerahkan diri untuk dipenjarakan kerana menghina mahkamah yang mana tarikh akhir untuknya berbuat demikian ialah pada Ahad.
Beliau berdepan dengan 16 dakwaan penipuan, rasuah dan kegiatan haram berhubung satu pembelian jet-jet tempur, bot-bot rondaan dan peralatan ketenteraan dari lima buah syarikat Eropah yang jumlahnya hampir AS$5 bilion (RM20.78 bilion). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!