Luis Enrique yakin Sepanyol tepati ramalan

Enrique yakin Sepanyol mampu tepati ramalan muncul juara Euro 2020.
Enrique yakin Sepanyol mampu tepati ramalan muncul juara Euro 2020.
A
A
A

PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique menegaskan skuad kendaliannya itu mampu menepati ramalan untuk muncul selaku juara Euro 2020.

Menurut pengendali berusia 51 tahun itu, ramalan itu bakal menjadi kenyataan berdasarkan kepada prestasi semasa yang dipamerkan La Roja setakat ini.

“Seperti yang selalu saya katakan, kami adalah salah satu daripada lapan pasukan yang diramalkan untuk memenangi Euro 2020.

“Kini, ramalan itu semakin hampir menjadi kenyataan kerana kami kini berada dalam kalangan empat pasukan terbaik (separuh akhir).

“Oleh itu semua pemain perlu memberikan aksi yang terbaik nanti kerana kita semakin hampir untuk merealisasikan ramalan berkenaan,” katanya.

Untuk rekod, Sepanyol mara ke separuh akhir setelah mengecewakan Switzerland 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan.

Terdahulu, skuad La Roja itu turut mempamerkan aksi berkelas dunia apabila menewaskan Croatia 5-3 pada aksi kalah mati, 29 Jun lalu.

Sementara itu Enrique menegaskan tidak ada istilah bagi mana-mana pasukan untuk mara ke separuh akhir kerana objektif sebenar bagi semua pasukan adalah untuk mara ke final.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beraksi di pentas final sememangnya menjadi objektif kepada semua pasukan bertanding dan mereka pasti akan cuba sedaya upaya untuk mara ke final selepas itu.

“Ia sesuatu yang tidak masuk akal untuk berada di separuh akhir dan tidak memikirkan untuk mara ‘selangkah’ lagi ke final, kerana itu adalah objektif sebenarnya.

“Oleh itu, kita akan berusaha untuk mencapai objektif berkenaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!