PGA ambil alih SJR Aksem
RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan di bawah seliaan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) akan diambil oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada September ini.
SJR terbabit ialah Neting (Pengkalan Kubor), Cabang Empat Salam (Rantau Panjang) dan Lalang Pepuyu (Tanah Merah).
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, pengambilalihan tugas itu selari dengan tindakan kerajaan menyerap masuk keanggotaan Aksem ke PGA.
"Setiap SJR akan dikawal dengan teliti bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan dan lain-lain berjaya dikekang sebaik mungkin," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol, di sini pada Isnin.
Hadir sama Komander PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi dan Komander Batalion 8 Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusuf.
Beliau berkata, PGA akan menempatkan seramai 22 anggota yang bertugas secara bergilir-gilir mengikut jadual di setiap SJR.
Dalam perkembangan lain, Hasan Basri berkata, PGA Batalion 7 berjaya mematahkan cubaan menyeludup 348 kilogram ayam sejuk beku di pangkalan haram Pok Ngoh, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Ahad.
"Bagaimanapun, dalam serbuan 11.30 malam itu, kesemua penyeludup melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu selepas menyedari kehadiran anggota PGA," katanya.
Menurutnya, rampasan itu hasil rondaan rutin PGA ketika Op Benteng Covid-19.
"Selain ayam sejuk beku kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara yang digunakan untuk menyeludup bahan mentah itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!