Merayu beri barang percuma

Orang ramai beratur untuk mengambil barang keperluan percuma.
Gambar kecil: Ahmad Khairil Faiz
Orang ramai beratur untuk mengambil barang keperluan percuma. Gambar kecil: Ahmad Khairil Faiz
A
A
A

SEREMBAN - Orang ramai di daerah ini sanggup beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan percuma yang disediakan oleh syarikat Lazz Ain Marketing Sdn Bhd di Senawang di sini.

Ada juga yang merayu diberikan barangan terbabit walaupun telah diberitahu kuota untuk hari ini (Isnin) sudah habis.

Pengarah Urusannya, Ahmad Khairil Faiz Ahmad Ahyat, 32, berkata, usaha itu dilakukan selepas menyedari ramai terkesan dan hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

"Sepatutnya kami mula mengagihkan barang jam 10 pagi, tetapi saya terkejut apabila ramai yang sudah menunggu sebaik sahaja sampai di kedai pada jam 9.30 pagi.

"Ia betul-betul di luar jangkaan saya dan ada memaklumkan datang dari Rantau yang jauhnya kira-kira 30 kilometer untuk mendapatkan barang keperluan percuma ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berpendapat, keadaan itu menunjukkan ramai masyarakat ketika ini yang terdesak dan menanti bantuan.

Ujarnya, menjadi kebiasaan syarikatnya menjalankan khidmat sosial tetapi keadaan kali ini nyata berbeza.

"Jika dahulu masyarakat dilihat agak malu untuk berkongsi kesusahan mereka tetapi kini tidak lagi. Kalau ikutkan kouta kami hanya 30 set saja tetapi tak sangka ramai yang menunggu. Apabila ditanya ramai yang beritahu mereka tiada pekerjaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Ahmad Khairil Faiz, pada hari pertama pemberian barang percuma itu dilakukan Jumaat lepas membabitkan sebanyak 50 set disediakan dan hanya selepas dua jam kesemuanya habis diambil.

"Kami bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi sekadar mahu berkongsi rezeki yang ada kerana tahu ramai yang hidup susah sekarang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!