277 individu ditahan, barangan bernilai RM18.9 juta dirampas
PAPAR - Seramai 277 individu ditahan bersama pelbagai jenis barangan bernilai RM18.9 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah sejak Januari hingga Jun lalu.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua kejayaan itu membabitkan sebanyak 97 kes yang dikesan melalui Op Kontraban, Op Benteng dan Op Khazanah.
Menurutnya, seramai 127individu ditahan membabitkan kesalahan Akta Imigresen, Akta Dadah (80), Akta Kastam (40), Akta Barang Kawalan (21), Akta Racun (4), Akta Hidupan Liar (3), Akta Perhutanan (2) dan Akta Senjata Api (1).
"Semua operasi yang dilaksanakan di seluruh Sabah hasil risikan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.
"Tangkapan paling ramai dilakukan di daerah Tawau membabitkan 154 individu diikuti Beluran iaitu seramai 78 orang," katanya pada sidang akhbar yang dijalankan di Dewan Latihan Briged Sabah PGA Kinarut, pada Isnin.
Tambahnya lagi, kejayaan enam bulan pertama tahun menunjukkan peningkatan berbanding sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 148 kes dan 412 tangkapan serta RM12.2 juta rampasan.
Katanya, usaha pemantauan dan risikan akan terus dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan tiada sebarang kegiatan jenayah dapat di kawasan perairan dan sempadan negeri ini.
"Kumpulan penjenayah sempadan dipercayai cuba mengambil kesempatan ketika penularan pandemik Covid-19 untuk menjalankan kegiatan mereka.
"Bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang membabitkan lima batalion iaitu Batalion (BN) 14 PGA Tawau, BN 15 PGA Sandakan, BN 16 PGA Kota Kinabalu, BN 17 PGA Lahad Datu dan BN 18 PGA Beluran akan terus dilaksanakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!