Tekun: Beri peluang berniaga kepada OKP
TANAH MERAH - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional akan memberi peluang kepada golongan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang sudah pulih dari penagihan dadah menceburi bidang perniagaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, pihaknya tidak memandang rendah kepada golongan berkenaan memandangkan pengalaman penagihan itu merupakan kisah lampau pihak terbabit
"Kita akan melihat bidang perniagaan apa yang mereka ingin ceburi dan membantu dari segi pinjaman yang diperlukan.
"Walaupun mereka pernah melalui kisah gelap, namun kita tidak pernah mengehadkan dan menyekat pihak berkenaan dan memberi peluang untuk mereka berubah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bulan Anti Dadah di Pejabat Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Tanah Merah di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah AADK Kelantan, Rahayu Ahmad.
Menurutnya, sebelum ini juga pihaknya pernah membantu golongan banduan dalam usaha pemulihan dan ini mampu memberi satu semangat baharu kepada golongan itu dan mengubah persepsi masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!