Stok minyak sawit dijangka meningkat 3 peratus Jun 2021

Inventori minyak sawit Malaysia dianggarkan meningkat sebanyak tiga peratus bulan ke bulan kepada 1.61 juta tan metrik pada akhir Jun 2021. - Gambar hiasan
Inventori minyak sawit Malaysia dianggarkan meningkat sebanyak tiga peratus bulan ke bulan kepada 1.61 juta tan metrik pada akhir Jun 2021. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inventori minyak sawit Malaysia dianggarkan meningkat sebanyak tiga peratus bulan ke bulan kepada 1.61 juta tan metrik pada akhir Jun 2021 apabila penggunaan tempatan yang rendah diimbangi oleh eksport tinggi, kata CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan tersebut menandakan peralihan daripada trend biasa, yang kebiasaannya menyaksikan stok minyak sawit Malaysia pada Jun berkurangan sebanyak purata 2.2 peratus bulan ke bulan sejak 10 tahun lepas.

“Meskipun begitu, paras stok minyak sawit di Malaysia diunjur kekal terhad kerana ia berada 15 peratus di bawah purata biasa paras stok minyak sawit bagi Jun dalam tempoh 10 tahun lepas pada 1.9 juta tan metrik,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Berdasarkan kepada kaji selidik oleh pasukan niaga hadapan CGS-CIMB, negara mengeluarkan 1.6 juta tan metrik minyak sawit mentah pada Jun, meningkat dua peratus bulan ke bulan yang mana lebih tinggi berbanding trend kebiasaan pengeluaran bagi tempoh 10 tahun lepas iaitu pengurangan 0.3 peratus.

Purata harga MSM turun sebanyak 16 peratus bulan ke bulan meningkat 120 peratus tahun ke tahun kepada RM3,831 setan metrik pada Jun 2021.

Mengenai eksport minyak sawit, CGS-CIMB berkata, kuantiti dijangka meningkat sembilan peratus bulan ke bulan kepada 1.38 juta tan metrik susulan eksport kukuh ke China.

Menurut data penyelidikan kargo Intertek Testing Services, eksport Malaysia bagi Jun naik sebanyak 7.06 peratus bulan ke bulan kepada 1.52 juta tan metrik daripada 1.42 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, penyelidik kargo Amspec Malaysia mengunjurkan eksport meningkat 8.6 peratus bulan ke bulan kepada 1.55 juta tan metrik pada Jun.

Artikel Berkaitan:

Bagi Julai 2021, CGS-CIMB mengunjurkan harga MSM kekal kukuh pada RM3,400 hingga RM4,000 setan metrik susulan inventori minyak boleh dimakan global yang rendah yang akan mengambil masa untuk ditambah dan kekurangan pekerja di Malaysia.

“Kami masih menjangkakan bekalan MSM akan pulih pada bulan-bulan akan datang tetapi pada kadar yang perlahan berikutan masalah kekurangan buruh. Meskipun harga MSM yang tinggi, harga saham syarikat perladangan Malaysia berada di bawah tekanan berikutan diselubungi isu tuduhan buruh paksa,” katanya.

Ia berkata, penurunan levi eksport oleh Indonesia baru-baru ini juga memberikan prospek yang agak negatif.

CGS-CIMB mengekalkan saranan neutral ke atas sektor perniagaan tani. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!