China sumbang 500,000 vaksin Sinovac

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini. -Foto Bernama
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan menerima sumbangan sebanyak 500,000 dos vaksin keluaran Sinovac daripada kerajaan China, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, kesemua vaksin tersebut akan tiba di Malaysia pada pertengahan bulan ini.

“Ini sekali gus akan terus meningkatkan kapasiti dan kadar vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada bulan ini dan seterusnya,” katanya ketika sidang akhbar perkembangan PICK di sini pada Isnin.

Pada masa sama, Khairy berkata, bekalan vaksin Pfizer yang akan diterima pada bulan ini melalui perolehan terus kerajaan Malaysia adalah sebanyak 5,428,800.

Menurutnya, jumlah itu termasuk sumbangan daripada Amerika Syarikat yang telah tiba pada pagi Isnin iaitu sebanyak 1,000,350 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6.4 juta.

“Bagi Sinovac, kita akan menerima keseluruhan lebihan bekalan pada bulan ini sekali gus melengkapkan jumlah tempahan sebanyak 12 juta dos.

“Vaksin AstraZeneca pula, selain daripada 1 juta dos sumbangan oleh kerajaan Jepun yang diterima pada Jumaat lalu, kita juga telah menerima 586,700 dos melalui perolehan oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan vaksin yang akan digunakan dalam PICK pada bulan Ogos dan seterusnya ialah Pfizer dan AstraZeneca.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia tidak termasuk CanSino yang tarikh penghantaran penghantarannya masih belum diketahui.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!