Durian musang king: Sebulan tempoh musnah kebun
KUANTAN - Durian musang king yang ditanam secara haram di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub seluas 101 hektar akan dimusnahkan dalam tempoh sebulan bermula Ahad.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, operasi bersepadu itu membabitkan pelbagai agensi dan hanya tertumpu dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam.
"Bagi tujuan operasi ini, penguat kuasa JPNP dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang akan melakukan rondaan dan tangkapan.
"Selain itu, kita akan menjalankan kerja penandaan zon kawasan tebangan bermula semalam (Ahad).
"Tindakan ini bertujuan memastikan aktiviti menceroboh Hutan Simpan Batu Talam tidak terus berlaku pada masa akan datang dan penguatkuasaannya perlu bermula sekarang," kata ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau menjelaskan, operasi pada Ahad lebih menumpukan kepada aktiviti rondaan dan tangkapan individu yang memasuki hutan simpan tanpa kebenaran.
Katanya, mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
Mohd Hizamri berkata, 18 pekebun haram durian musang king yang melakukan provokasi ditahan reman pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN:
Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan
18 pekebun durian musang king direman dua hari
Proses reman 18 pekebun durian musang king kecoh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!