Lelaki cuba seludup rokok guna jalan tikus ditahan

Antara rokok yang dirampas PGA Sabah di Jalan Kampung Manduring, Sapi Nangoh, Beluran.
Antara rokok yang dirampas PGA Sabah di Jalan Kampung Manduring, Sapi Nangoh, Beluran.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan seorang lelaki yang cuba membawa 2,390 bungkusan rokok seludup melalui 'jalan tikus' gagal apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah di Jalan Kampung Manduring, Sapi Nangoh, Beluran pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, lelaki berusia 39 tahun itu menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum ditahan anggota Batalion 20 Beluran yang sedang menjalankan rondaan 'snap check' dan ronda cegah jenayah di laluan terbabit.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kenderaan Toyota Hilux itu dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di bahagian penumpang belakang kenderaan itu menemui sebanyak 2,390 bungkus pelbagai jenis rokok yang bernilai RM173,320.68

"Lelaki terbabit ditahan dan diperiksa kerana dipercayai menyimpan serta menjual rokok yang tidak mendapat kelulusan Kastam dan tiada cukai," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Abduh berkata, kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan dan kejayaan ini hasil risikan serta maklumat orang awam kepada Batalion 20," katanya.

Dalam pada itu,beliau turut meminta masyarakat setempat supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan: