Singapura percepat kempen vaksinasi sebelum buka semula sempadan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Keutamaan Singapura ketika ini adalah mempercepatkan vaksinasi Covid-19 sebelum membuka semula pintu sempadannya kerana ia menjadi faktor penting ke arah proses pemulihan republik itu, menurut Menteri Kewangan, Lawrence Wong.

"Ini adalah isu teras Singapura kerana kita wujud dan mampu terus berkembang adalah berasaskan kemampuan kita menghubungkan perniagaan dengan pengguna untuk rantau ini dan ke seluruh dunia,” katanya Wong menerusi kenyataan berhubung pelan sokongan Covid-19 di Parlimen pada Isnin.

Wong yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai Covid-19 berkata, terdapat maklum balas daripada komuniti perniagaan dan pelaburan bahawa Singapura mungkin akan ketinggalan berbanding hab lain yang lebih agresif untuk membuka semula sempadan mereka.

“Kami menyedari kekhuatiran itu. Tetapi kita juga amat berhati-hati kerana andai kita membuka sempadan terlalu awal sebelum mencapai kadar vaksinasi cukup tinggi, kita mungkin berakhir dengan terpaksa berdepan gelombang baharu jangkitan, lonjakan kes hospital dan unit rawatan rapi (ICU), ” katanya.

Menurut Wong, Singapura mempunyai kemampuan untuk mencapai kadar liputan vaksinasi tinggi dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

"Ini membolehkan kita membuka kembali secara progresif dan kembali terhubung dengan dunia," katanya.

Wong menyatakan, Singapura berada di landasan tepat ke arah wawasannya untuk menyuntik vaksin kepada dua pertiga daripada penduduk negara itu menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.

Setakat 3 Julai 2021, Singapura telah memberikan sejumlah 5,706,932 dos vaksin Covid-19 menerusi program vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

Jumlah dos yang sudah diberikan adalah sebanyak 5,706,932 dos membabitkan 3,550,181 individu manakala 2,156,751 penduduk sudah menerima dua dos suntikan bagi menyempurnakan rejim vaksinasi.

Menerusi kenyataan kementeriannya, Wong turut mengumumkan pelan sokongan tambahan bernilai S$1.2 bilion yang menurutnya akan dibiayai menerusi sumber yang sudahpun diluluskan pada pembentangan belanjawan tahun ini.

Wong menjelaskan, kementerian berusaha menyusun semula kewangan daripada belanjawan bagi membiayai pakej sokongan itu.

Singapura yang ketika ini menyediakan pelan hala tuju untuk mempersiapkan negara ke arah senario membolehkan rakyat hidup normal sewaktu Covid-19 dijangka akan melaksanakan lebih banyak kelonggaran bagi membolehkan lima orang atau lebih makan bersama bermula 12 Julai depan.

Republik itu kini berada di 'Fasa 3' pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosialnya.

Menerusi fasa itu, antara aktiviti lebih berisiko seperti makan di kedai dan kegiatan sukan tanpa pelitup muka hanya dibenarkan kepada dua orang dalam satu kumpulan.

Mengetepikan keadaan luar jangka, Wong berkata, kementerian masih mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekurang-kurangnya 4.0 hingga 6.0 peratus tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!