Lambakan graduan makin membimbangkan
MENURUT statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2019, graduan Malaysia meningkat kepada 5.29 juta atau 6.9 peratus lebih tinggi pada 2019 berbanding 4.94 juta (2018).
Peratusan graduan dalam tenaga buruh pula meningkat 6.8 peratus daripada 4.14 hingga 4.42 juta orang pada 2018 hingga 2019.
Begitu juga kadar penyertaan tenaga buruh graduan pada 2019, menurun 0.1 peratus iaitu daripada 83.6 peratus kepada 83.5 peratus.
Pada tahun sama, jumlah penganggur siswazah adalah seramai 170,300 orang dan jumlah ini meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun 2018 sebanyak 161,300.
Sementara itu, laporan kajian Institute of Student Employers (ISE) pula menyatakan, tahap pengambilan pekerja atau pasaran buruh graduan dan pelajar latihan atau penempatan Malaysia turun sebanyak 15 peratus kepada 29 peratus tahun lalu.
Dijangka angka penurunan ini akan berlanjutan sehingga tahun depan dengan menyaksikan lebih 30 peratus penurunan mungkin terjadi khususnya bagi siswazah.
Trend penurunan jumlah ini yang berlaku pada 2019 menyaksikan berlakunya lambakan graduan di pasaran tenaga buruh yang semakin kritikal.
Ia dibuktikan lagi dengan berita lambakan graduan pendidikan sekitar Mei lalu dan juga sebanyak 85 program akademik di 20 universiti awam seluruh negara telah dilupuskan pada tahun lalu.
Di mana silapnya? Hari ini dengan impak Revolusi Industri 4.0 dan pandemik Covid-19 yang telah berlarutan selama hampir dua tahun, ramai graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bukan sahaja menjadi penganggur malah mereka juga terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian masing-masing.
Ini disokong dengan kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar baru-baru ini, apabila banyak program akademik dilupuskan kerana dilihat tidak lagi relevan dan digantikan dengan program baharu.
Untuk program sedia ada, sekiranya ia tidak dilupuskan, ia akan digantikan dengan mod penawaran yang berbeza atau digabungkan dengan program lain bagi memastikan program ini mampu berdaya saing dan menjamin kemampanan program akademik itu sendiri.
Bagaimanapun, ini tidak bermaksud program itu tidak lagi penting, sebaliknya pentadbiran IPT perlu memikirkan sesuatu supaya ia dapat ditambah baik demi melahirkan siswazah berkualiti dari segi kemahiran.
Hari ini, IPT yang menawarkan bidang pengajian juga perlu keluar daripada kepompong kebiasaan dan mula berfikir lebih kreatif untuk memastikan kebolehpasaran siswazah dapat ditingkatkan.
Mungkin sudah tiba masanya pihak universiti memainkan peranan dengan menyediakan aspek pengajian yang lebih mesra dengan dunia pekerjaan daripada peringkat awal.
Dengan pelbagai saingan dan juga teknologi semakin pesat berkembang, graduan hari ini tidak boleh hanya nampak cemerlang di kertas peperiksaan dan secara teori sahaja, sebaliknya aspek praktikal dan teknikal adalah lebih penting.
Pada masa sama, pihak universiti boleh menyediakan beberapa subjek minor di luar kerangka pengajian program-program sedia ada.Sebagai contoh, jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak boleh ditawarkan subjek minor seperti keusahawanan, pentadbiran perniagaan atau teknologi maklumat (IT).
Sekiranya tiada usaha dilaksanakan bagi menambah baik kemahiran sedia ada dalam usaha memenuhi keperluan industri pada masa hadapan, jurang kemahiran dalam kalangan graduan siswazah akan terus melebar.
Sehubungan itu, dalam usaha membantu siswazah mendapatkan pekerjaan setiap universiti juga mungkin boleh mewujudkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan sebagai proses persiapan dan persediaan mahasiswa menempuhi alam pekerjaan.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut mengakui ijazah kini bukan lagi lesen besar untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan, sebaliknya pelbagai faktor lain khususnya aspek fleksibiliti serta keupayaan komunikasi yang baik turut diberi perhatian penting.
Hakikat yang harus diakui, mempunyai ijazah kini bukanlah lesen mendapat pekerjaan, sebaliknya ia hanya menjadi asas membina kerjaya.
Justeru, abad ke-21 ini, peranan universiti dan graduan perlu berubah dan berani untuk mencipta peluang.
* Mariatul Qatiah Zakaria ialah Editor GPSBestari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!