PKPD: Penduduk Flat Sri Sabah terima bantuan ayam
KUALA LUMPUR - Setiap penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Flat Sri Sabah 3A, di sini menerima bantuan ayam segar disumbangkan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar pada Selasa.
Kamarudin berkata, sebanyak 815 ekor ayam segar diagihkan kepada setiap unit terlibat PKPD yang masuk hari keempat hari ini.
"Selain mengawasi keluar masuk penduduk, kita pastikan juga mereka mendapat bantuan khususnya barang dapur (makanan) supaya mereka tidak berada dalam keadaan terdesak.
"Ayam segar diedarkan ke setiap unit hari ini dan saya juga dimaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengedar barang dapur dalam masa terdekat.
"Walaupun kedai dalam blok masih dibuka dan kelonggaran bersyarat kepada penduduk untuk keluar membeli keperluan dan urusan tertentu, namun saya harap bantuan disalurkan ini dapat menggalakkan mereka duduk di rumah sepanjang PKPD," katanya pada sesi lawatan di Flat Sri Sabah 3A pada Selasa.
Pada perkembangan sama, beliau yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada petugas dan juga NGO serta beberapa syarikat yang tampil sebagai penyumbang barang makanan dan keperluan lain.
Beliau berharap, penduduk memberikan kerjasama dan akur dengan pelaksanaan PKPD.
Pada Khamis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan PKPD di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai 2021.
Lokasi PKPD di Kuala Lumpur adalah PPR Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 1 dan 2 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 dan 2) dan Flat Sri Sabah.
Turut tersenarai Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!