LCMB dijangka kurangkan pelepasan GHG
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) dijangka mengurangkan pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sehingga 165 juta tan karbon dioksida setara.
Ia turut menjimatkan perbelanjaan bahan api sebanyak RM150 bilion untuk tempoh 10 tahun.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelan tersebut bakal dilaksanakan dalam masa terdekat membabitkan beberapa kementerian berkaitan.
"Sektor pengangkutan juga antara sektor utama pelepasan GHG terbesar di Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian The Tree, The Sky, The Sun: Hala tuju Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon yang diadakan secara maya pada Selasa.
Menurutnya, KASA telah mengatur beberapa strategi utama untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG antaranya penggunaan kereta, bas serta motosikal elektrik.
"Kita juga mesti menggembleng tenaga dan sumber ke arah kelestarian alam sekitar serta memacu pembangunan rendah karbon negara," katanya.
Beliau berkata, perubahan iklim yang berpunca daripada pelepasan GHG ke atmosfera adalah akibat aktiviti manusia.
"Pengumpulan GHG bagi jangka masa panjang menyumbang kepada fenomena pemanasan global dan perubahan sistem iklim global sehingga menyebabkan
kejadian cuaca ekstrem di luar norma kebiasaan," katanya.
Ujarnya, kebanyakan negara sedang mengalami gelombang haba dan cuaca sejuk yang melampau, banjir besar, tanah runtuh serta ribut taufan.
Kajian yang dilaksanakan oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menuntut komitmen pelbagai pemegang taruh untuk mengurangkan pelepasan GHG seperti yang telah ditetapkan dalam Perjanjian Paris di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNFCCC.
Tuan Ibrahim berkata, Malaysia menyasarkan kadar pengurangan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.
"Berdasarkan sasaran ini, sebanyak 35 peratus akan dilaksanakan tanpa syarat, manakala 10 peratus lagi adalah bersyarat serta tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti daripada negara maju," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!