Pasar tani, pasar pagi, cuci kereta dibenar beroperasi: KPKT

Pasar tani, pasar pagi dan perkhidmatan cuci kenderaan berlesen dengan PBT dibenar beroperasi di negeri yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Gambar hiasan
Pasar tani, pasar pagi dan perkhidmatan cuci kenderaan berlesen dengan PBT dibenar beroperasi di negeri yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasar tani, pasar pagi dan perkhidmatan cuci kenderaan berlesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dibenar beroperasi di negeri yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, perkhidmatan tersebut tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sebaliknya, memadai dengan hanya menunjukkan lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak PBT.

"Sekiranya lokasi perniagaan melibatkan pergerakan merentas daerah atau negeri, mereka perlu mendapatkan kebenaran PDRM dengan mengemukakan lesen perniagaan atau permit penjaja oleh PBT berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, pasar pagi dan pasar tani dibenarkan beroperasi bermula jam 7 hingga 11.00 pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat meliputi bilangan pengunjung dan penjarakan minimum dua meter.

"Enam komoditi utama iaitu ikan, daging, ayam, telur, sayuran dan buah-buahan sahaja dibenarkan untuk dijual," katanya.

Pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka.

Bagi perkhidmatan cuci kenderaan, KPKT berkata, kerja-kerja pembersihan yang dibenarkan adalah meliputi bahagian luaran kenderaan, enjin kereta, dalaman kereta, polish, wax serta pengewapan antibakteria dan pembasmian serangga ruangan dalam kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta untuk merujuk laman web rasmi KPKT bagi memuat turun SOP yang ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!