SPRM FIFA 21 Challenge: Pencarian jaguh Zon Utara selesai
PERSAINGAN kelayakan Kejohanan e-Sukan SPRM FIFA 21 Challenge bagi Zon Utara melibatkan peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berakhir pada Ahad.
Pengasas Kelab e-Sukan Haq, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berkata, seramai 128 peserta dari setiap negeri itu telah selesai mengambil bahagian.
“Kami sudah melengkapkan aksi kelayakan untuk zon yang bermula sejak 1 Julai lalu. Mulai 5 Julai, kami memulakan aksi kelayakan untuk Zon Pantai Timur di Kelantan.
“Pahang akan menjadi hos pada 6 Julai diikuti Terengganu keesokan harinya. Sama seperti Zon Utara, jumlah peserta yang bertanding dalam Zon Pantai Timur ini adalah 128 orang bagi setiap negeri.
“Daripada setiap negeri itu, dua peserta terbaik bakal bertanding dalam saingan Grand Final yang dijadualkan berlangsung pada 17 Julai nanti,” katanya.
Kejohanan e-Sukan SPRM FIFA 21 Challenge merupakan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kelab e-Sukan Haq (THQ e-Sports Club).
Dengan bertemakan Youth Against Corruption, kejohanan secara dalam talian yang akan disertai 2,048 atlet e-Sukan itu adalah kesinambungan program PUBG Mobile i-Challenge yang dianjurkan SPRM sebelum ini.
“Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang kita terima sungguh menggalakkan apabila di empat negeri Zon Utara. Siaran laman Facebook Live kami turut menerima sambutan yang baik.
“Kami akan teruskan pencarian di beberapa buah negeri lagi mengikut jadual yang diatur bagi melengkapkan kuota 32 peserta yang layak bertanding pada Grand Final nanti,” ujarnya.
Juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 manakala naib juara RM3,000 dan pemenang tempat ketiga meraih RM2,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!