Kecewa individu hina Rasulullah dibebaskan

Abdullah Husin
Abdullah Husin
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pas Johor kecewa apabila seorang lelaki yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad dan isteri Baginda menerusi laman Facebook telah dibebaskan dengan jaminan pihak polis.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin berkata, berikutan itu, pihaknya membantah pembebasan berkenaan dan mendesak agar individu tersebut dikenakan tindakan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat.

“Pas Johor sangat terkejut dan kecewa dengan keputusan pihak polis yang telah membebaskan individu pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai yang telah memuatkan karikatur biadab menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda.

“Pas Johor juga melihat bahawa tindakan tersebut bukan sahaja tidak meredakan keadaan malah ianya mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.

“Individu tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hanya direman selama tiga hari kemudian dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, pada tahun lalu seorang wanita yang menghina Nabi Muhammad telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM 15,000 setelah disiasat di bawah Seksyen 298.

“Pas Johor menuntut satu penjelasan daripada pihak berwajib dan kita akan mengatur pertemuan dalam masa terdekat dengan Ketua Polis Johor bagi membincangkan isu penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad yang semakin menjadi-jadi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!