Lelaki cedera dipukul selepas dituduh curi bawang jiran

Yusoff Zaki
Yusoff Zaki
A
A
A

BEAUFORT - Seorang lelaki dipukul oleh jirannya selepas dituduh mencuri bawang dalam kejadian di Kampung Pansung Rancangan Klias, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 38 tahun dipukul menggunakan batang besi sehingga menyebabkan tangan kirinya luka dan lebam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, ketika kejadian mangsa sedang tidur di rumahnya namun tiba-tiba didatangi suspek berusia lingkungan 30-an dan terus memukulnya menggunakan batang besi.

"Mangsa cuba menghalang suspek daripada terus memukul dengan memeluknya sehingga keadaan terkawal sebelum bertanya punca dia dipukul.

"Suspek kemudian menuduh mangsa mencuri bawang di rumahnya," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Yusoff berkata, selepas kejadian itu, suspek terus melarikan diri manakala mangsa membuat laporan polis.

"Suspek ditahan jam pada 11 malam di Kampung Melabau Pangsong dan polis turut merampas batang besi yang digunakan oleh suspek ketika kejadian," katanya.

Yusoff Zaki berkata, hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!