Masjid Seberang Takir siap September
KUALA NERUS - Masjid baharu Seberang Takir yang menelan belanja kira kira RM2 juta dengan dilatari pemandangan Sungai Terengganu itu, dijangka dapat disiapkan September ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, ketika ini, projek berkenaan telah siap sebanyak 70 hingga 75 peratus.
Menurutnya, pembinaan tersebut bakal menjadi sebuah mercu tanda baharu di daerah ini.
"Masjid ini akan menjadi mercu tanda rakyat dan diharap apabila siap nanti ia berjaya dimakmurkan sebaiknya oleh rakyat ke arah merealisasikan moto kerajaan negeri, iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya, hari ini.
Semalam, Khairuddin diwakili Timbalan Ketua Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Hafeez Sahidi dan ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melawat ke tapak projek.
Hadir sama, pegawai Jabatan Kerja Raya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Seberang Takir dan pemimpin-pemimpin setempat.
Sementara itu, Hafeez berkata, pemandangan Sungai Terengganu dari anjung tinjau masjid bakal menggamit kehadiran orang ramai, penduduk, bahkan pelancong untuk berkunjung setelah ia siap nanti.
“Projek mega yang menelan belanja kira kira RM2 juta ini dijangka akan dapat disiapkan pada awal September tahun ini," katanya yang mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus ketika ditemui di sini.
Menurutnya, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali tidak dapat menyertai lawatan ke tapak projek berkenaan kerana menghadiri program di luar Terengganu.
"Beliau (Khairuddin) juga tidak sabar mahu melihat rekaan masjid yang juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain ini siap sepenuhnya dan digunakan oleh rakyat di Seberang Takir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!