'Bila malam bau busuk muncul'

Sungai Sengkang di Kulai yang sebelum ini berwarna hitam dan berbau busuk kini sudah semakin pulih selepas kerja-kerja pembersihan bahan buangan kimia dilakukan sejak pagi Ahad. Gambar kecil dari kiri: Haider Reduan, Azlina Johari
Sungai Sengkang di Kulai yang sebelum ini berwarna hitam dan berbau busuk kini sudah semakin pulih selepas kerja-kerja pembersihan bahan buangan kimia dilakukan sejak pagi Ahad. Gambar kecil dari kiri: Haider Reduan, Azlina Johari
A
A
A

KULAI - Penduduk sekitar Kampung Baru, Sengkang di sini mendakwa masih terdapat bau busuk walaupun keadaan Sungai Sengkang sudah semakin pulih selepas tercemar dengan sisa buangan kimia yang dikesan pada malam Sabtu.

Seorang penduduk, Azlina Johari, 42, yang juga merupakan seorang guru berkata, bau busuk boleh dihidu terutama pada waktu malam.

"Sejak bau busuk itu dikesan penduduk, saya membawa ibu yang berusia 61 tahun tidur di rumah saya di Taman Tropika di sini untuk tiga malam berturut-turut.

"Pada waktu siang bau busuk itu memang seperti sudah tiada dan warna air sungai juga sudah kembali pulih tetapi pada sebelah malam bau busuk tersebut akan muncul semula.

"Sekiranya malam ini keadaannya masih sama, saya akan bawa ibu sekali lagi untuk tidur di rumah saya," katanya ketika ditemui di kampung tersebut pada Selasa.

Justeru, Azlina berharap pihak berkuasa dapat menangani masalah itu sepenuhnya kerana bimbang kesan jangka masa panjang akibat daripada pencemaran bahan kimia tersebut.

"Sebelum ini kami dengar macam-macam perkara melibatkan kejadian pencemaran di Pasir Gudang beberapa tahun lalu, kami bimbang sekiranya perkara sama berlaku pula di sini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Haider Reduan, 34 berkata, penduduk lega dan berpuas hati dengan tindakan pantas diambil pihak berkuasa dalam menangani insiden tumpahan bahan kimia itu kerana tidak mahu kejadian tersebut mengganggu urusan harian mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kini air sungai itu yang sebelum ini berwarna hitam pekat dan berminyak sudah tidak lagi kehitam-hitaman.

"Namun pada masa sama, kami tetap berharap pemantauan berterusan dapat dibuat selain kerja-kerja pembersihan dapat diteruskan kerana masih ada sisa bahan kimia yang dikesan tersangkut di tepi-tepi sungai dan semak samun berhampiran.

"Ini kerana penduduk menggunakan sungai berkenaan untuk mengairi kebun-kebun sawit mereka melalui sistem perparitan yang dibina," katanya

Haider juga berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu untuk dibawa ke muka pengadilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!