Carsome beli kepentingan dalam firma Indonesia
CARSOME, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, telah mengambil alih pegangan ekuiti dalam PT Universal Collection (UC), sebuah syarikat perkhidmatan lelongan kereta dan motosikal luar talian yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.
Selain Jakarta, UC mempunyai cawangan di Tangerang Selatan, Bandung, Yogyakarta dan Malang.
“Ini menandakan pelaburan pertama Carsome di Asia Tenggara pada tahun 2021, dengan beberapa pelaburan strategik dan transaksi penggabungan serta pengambilalihan utama telah dirancang dalam tempoh terdekat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pelaburan dalam UC membolehkan Carsome menggandakan jumlah urus niaga automotifnya di Indonesia, dan membawanya selangkah lebih dekat untuk memenuhi visinya membina ekosistem kereta terpakai dalam talian bersepadu serantau, hujung ke hujung untuk peniaga dan pengguna.
UC menjalankan urus niaga hampir 30,000 kenderaan pada tahun kewangan 2020, dan pembekalnya akan mempunyai akses kepada permintaan yang lebih meluas melalui Carsome.
Carsome terus berkembang dan setakat April 2021, syarikat itu merekodkan lebih 9,000 transaksi kereta terpakai sebulan, atau lebih 100,000 pada setiap tahun.
Di seluruh Asia Tenggara, pendapatan tahunannya adalah kira-kira AS$800 juta, dan syarikat itu berada di landasan yang tepat untuk mencapai pendapatan AS$1 bilion pada tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!