Warga asing ke Indonesia wajib miliki sijil vaksin

Indonesia mewajibkan warga asing yang masuk ke negara itu perlu memiliki sijil vaksin, selain menjalani ujian swab. - Foto AFP
Indonesia mewajibkan warga asing yang masuk ke negara itu perlu memiliki sijil vaksin, selain menjalani ujian swab. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Indonesia berterusan merekodkan lonjakan kes positif baharu Covid-19 dengan melepasi angka 31,000 kes hari ini, jumlah tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Mac 2020.

Sebanyak 728 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, iaitu jumlah kematian harian tertinggi direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini meningkat kepada 61,868 orang.

Menurut data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 31,189 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kini sebanyak 2,345,018.

Bermula 3 Julai lepas hingga 20 Julai, pemerintah Indonesia mengetatkan lagi protokol kesihatan Covid-19 dengan menguatkuasakan Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat membeli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup.

Pemerintah Indonesia juga menetapkan peraturan merentas provinsi atau negeri kini diwajibkan perlu menjalani vaksin Covid-19 serta menjalani ujian swab (PCR) atau ujian antigen.

Bermula hari ini (6 Julai) juga, menurut kenyataan Kementerian Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi, semua warga asing yang masuk ke Indonesia wajib memiliki sijil vaksin, selain menjalani ujian swab.

Warga negara asing yang tiba di Indonesia diwajibkan menjalani kuarantin selama lapan hari dengan dua kali ujian swab, iaitu ketika tiba dan satu lagi swab pada hari ketujuh kuarantin. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!