Warga emas hilang, operasi pencarian tertumpu di hutan
JERTIH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang hilang sejak Ahad kini tertumpu di kawasan hutan Kampung Bukit Mali dekat Bukit Payong, Hulu Besut, di sini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, ia susulan penemuan motosikal dinaiki mangsa, Yaacob Lateh, 83, oleh orang awam di tepi jalan di kawasan itu pada kira-kira 5 petang Isnin.
“Motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa itu ditemukan kira-kira tiga kilometer dari jalan utama oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut.
“Motosikal ditemukan dalam keadaan terbalik dan terdapat sepasang selipar berhampiran dipercayai milik mangsa dan mangsa dipercayai berjalan kaki untuk keluar dari kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau berkata, operasi SAR yang bermula 9 pagi Selasa turut membabitkan Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung.
Abdul Rozak berkata, sehingga 5 petang, pasukan SAR masih gagal menemukan mangsa dan petunjuk terbaharu.
“Mangsa juga dipercayai dalam keadaan lemah kerana faktor usia dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa masih belum makan.
“Radius pencarian akan diperluas namun keadaan di lokasi yang berbukit dan belukar (yang terdapat di kawasan terbabit) agak menyulitkan pergerakan,” katanya.
Warga emas itu dilaporkan tidak pulang ke rumahnya selepas keluar bersendirian pada kira-kira jam 8.30 pagi Ahad lepas.
Yaacob, yang mengalami masalah lemah daya ingatan, dikatakan keluar rumah di Kampung Lubuk Kawah, di sini dengan memakai kemeja-T lengan panjang kuning, kain pelikat dan kopiah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!