Majuperak sumbang tiga kenderaan kepada MKN
IPOH - Majuperak Holdings Berhad (Majuperak) menyumbangkan tiga kenderaan milik syarikat itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak bagi memudahkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan dalam tempoh pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak, Nizran Noordin berkata, sumbangan itu juga sebagai menghargai peranan, gerak kerja dan komitmen MKN dalam mengekang penularan wabak itu di negeri ini.
“Sebagai sebuah entiti korporat yang dinamik, proaktif dan prihatin, kita sentiasa bersedia untuk membantu agensi-agensi yang memerlukan tidak kira di peringkat kerajaan negeri atau Persekutuan.
“Terima kasih kepada MKN dan semua petugas barisan hadapan atas pengorbanan yang tidak pernah putus menentang Covid-19 tanpa mengenal penat lelah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sesi penyerahan kenderaan dan dokumen berkaitan telah diadakan di Ibu Pejabat Korporat Majuperak di Bazar Ipoh di sini pada Selasa.
Sumbangan diserahkan kepada Pengarah MKN Perak, Khairul Ridzuan Mat Said dan disaksikan oleh Penolong Pengarah MKN negeri, Mejar Rosli Harun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!