Produk didakwa mampu rawat Covid-19 bernilai RM2,500 dirampas

101 kotak produk yang didakwa berupaya merawat jangkitan Covid-19 secara kendiri yang dirampas. - Foto FB JKNS
101 kotak produk yang didakwa berupaya merawat jangkitan Covid-19 secara kendiri yang dirampas. - Foto FB JKNS
A
A
A
SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 101 kotak produk yang didakwa berupaya merawat jangkitan Covid-19 secara kendiri bernilai RM2,500 dalam satu serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya pada Khamis lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, produk berjenama ‘Lianhua Qingwen Jiaonang’ disyaki tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan merupakan rampas kali kedua ke atas produk itu selepas Oktober tahun lalu.

”Produk yang tidak berdaftar ini telah didakwa berupaya merawat jangkitan Covid-19 secara kendiri dan dikhuatiri akan mendatangkan kesan-kesan sampingan yang buruk terhadap kesihatan sekiranya digunakan berterusan tanpa pemeriksaan rawatan perubatan dari pengamal perubatan berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dr Sha'ari berkata, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis tersebut boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, JKNS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Artikel Berkaitan:


Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my/ atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!