Bapa maut, anak cedera lori tangki terbalik
MERSING - Seorang bapa maut manakala anaknya cedera selepas lori tangki dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 20 Jalan Jemaluang-Mersing dekat sini pada Selasa.
Kemalangan pada jam 1.45 petang itu mengakibatkan penumpang di bahagian hadapan, Kamaruzaman Isman, 51, meninggal dunia manakala anaknya yang memandu lori berkenaan, Mohamad Aidil Kamaruzaman, 23, cedera pada bahagian muka.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, kemalangan itu berlaku semasa lori dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Mersing menuju ke arah Jemaluang.
"Sebaik tiba di tempat kejadian dengan keadaan jalan yang berselekoh, treler yang membawa muatan cecair karbon dioksida itu dipercayai hilang kawalan.
"Lori itu kemudian terbabas secara mengiring di bahu kiri jalan menuju ke arah Jemaluang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, penumpang berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Mersing yang tiba di tempat kejadian.
Sementara anak mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dirujuk ke unit kecemasan Hospital Mersing.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azhari Awi berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dihantar ke tempat kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!