Inisiatif penanaman padi wangi bantu kurang import
PASIR SALAK - Inisiatif penanaman padi wangi tempatan mampu mengatasi kebergantungan beras wangi import sebanyak 75 peratus.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Azman Mahmood berkata, penanaman itu juga mampu meningkatkan pendapatan golongan pesawah berikutan harganya yang lebih mahal daripada padi biasa.
Menurutnya, pesawah mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,540 bagi satu tan metrik padi wangi berbanding RM1,200 bagi padi biasa yang ditanam.
"Penanaman padi wangi yang diusahakan menerusi kerjasama Felcra Berhad akan dibeli oleh pihak FGV Holdings Berhad (FGV), bagi menghasilkan beras wangi keluaran mereka di bawah jenama Saji.
"Melalui penanaman padi jenis ini petani akan menerima pendapatan lebih baik. Mereka sekurang-kurangnya menerima RM1,540 dan RM360 subsidi," katanya kepada pemberita selepas bersama dalam lawatan kerja, Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Che Abdullah Mat Nawi ke Jelapang Padi Seberang Perak di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria.
Sementara itu, Azman menjelaskan terdapat dua kawasan ditanam padi wangi iaitu di Sungai Besar, Selangor dan Seberang Perak, Perak melibatkan keluasan sehingga 600 hektar ketika ini.
Katanya, beras wangi yang diimport kebanyakan dari negara seperti Thailand serta Kemboja dan melalui penanaman padi wangi tempatan akan dapat mengurangkan import berkenaan.
Menurutnya, secara keseluruhan seramai 257 pesawah terlibat dalam penanaman padi wangi tersebut dan seramai 140 orang daripadanya merupakan pesawah dari Jelapang Padi Seberang Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!