Tentera AS 'cabut' tinggalkan Kabul senyap-senyap

Pangkalan Udara Bagram yang terletak berdekatan dengan Kabul dan pernah didiami askar-askar AS serta sekutunya kini di bawah pengurusan tentera Afghanistan. - Foto AFP
Pangkalan Udara Bagram yang terletak berdekatan dengan Kabul dan pernah didiami askar-askar AS serta sekutunya kini di bawah pengurusan tentera Afghanistan. - Foto AFP
A
A
A

ASKAR-askar Afghanistan yang mengawal Pangkalan Udara Bagram di Kabul kini dipertanggungjawabkan menjaga ribuan tahanan Taliban di Pangkalan Tentera Udara Bagram yang terletak berdekatan dengan Kabul.

Keadaan itu berlaku selepas tentera AS bertindak berundur dari pangkalan tersebut tanpa terlebih dahulu memberitahu tentera Afghanistan.

Kumpulan terakhir askar AS telah meninggalkan pangkalan tersebut secara senyap-senyap pada Jumaat lalu sekali gus telah menyempurnakan pengunduran penuh askar-askar Amerika di negara berkenaan.

Walaubagaimanapun, tindakan pengunduran secara senyap-senyap itu menyebabkan berlakunya kelompongan keselamatan yang perlu diisi oleh tentera Afghanistan.

Pengunduran tentera Amerika itu dilakukan selepas Presiden AS, Joe Biden berjanji pada April lalu bahawa askar-askar Amerika akan meninggalkan negara berkenaan menjelang 11 September 2021.

Ia juga sekali gus menamatkan perang paling lama AS di negara tersebut yang telah berlanjutan hampir 20 tahun selepas tentera Amerika mengebom buat kali pertama bandar Kabul pada 7 Oktober 2001 untuk menyingkirkan rejim Taliban yang memberi bantuan kepada kumpulan Al-Qaeda.

Justeru, pada Februari 2020, pentadbiran Presiden AS ke-45, Donald Trump memeterai perjanjian dengan Taliban dan Amerika bersetuju mengadakan satu gencatan senjata sementara selain mengurangkan bilangan askarnya daripada kira-kira 13,000 anggota kepada 8,600 anggota pada pertengahan Julai tahun lepas.

Menjelang bulan Mei tahun ini, semua tentera AS dan sekutu-sekutunya akan meninggalkan negara tersebut, menurut perjanjian dengan Taliban itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Biden melanjutkan lagi tarikh pengunduran tersebut iaitu sebelum 11 September tahun ini.

Sungguhpun begitu, komander baharu pangkalan udara tersebut, Jeneral Mirassadullah Kohistani berkata seperti yang dilaporkan oleh AFP bahawa beliau hanya mengetahui pengunduran askar-askar AS itu hanya selepas mereka meninggalkan Afghanistan.

"Kami tidak mengetahui tarikh mereka (askar-askar AS) berundur. Mereka (tentera AS) tidak memberitahu kami bila mereka akan berundur," kata Koshistani seperti dilaporkan oleh AFP.

Kohistani dilaporkan berkata, pihaknya mendengar khabar angin bahawa tentera AS telah meninggalkan pangkalan udara tersebut pada pukul 7 pagi waktu tempatan iaitu pada Jumaat lalu.

Beliau kemudian mendapati khabar angin itu akhirnya betul.

Berikutan pengunduran itu, portal berita BBC menyatakan terdapat seramai 5,000 tahanan Taliban dilaporkan terbiar penjara pangkalan udara tersebut.

Jeneral Mirassadullah Kohistani. - Foto AP
Jeneral Mirassadullah Kohistani. - Foto AP

Tentera AS juga dilaporkan menutup bekalan elektik ketika meninggalkan pangkalan udara tersebut selain tiada penyerahan rasmi pangkalan tentera udara kepada Afghanistan. Ia menyebabkan tugas menjaga keselamatan di situ menjadi lebih mencabar.

Namun, dengan kira-kira 3,000 anggota tentera berada di bawah arahan Kohistani iaitu jumlah kecil jika dibandingkan dengan puluhan ribu askar AS dan sekutu-sekutunya yang pernah mendiami Kabul, Kohistani yakin askar-askar itu mampu mempertahankan pangkalan udara tersebut daripada serangan Taliban.

Ketika askar-askar AS mendiaminya, pangkalan itu dilengkapi dengan kolam renang, pawagam spa dan restoran makanan segera seperti Burger King serta Pizza Hunt namum selepas peninggalan mereka, tempat-tempat hiburan di tempat tersebut telah ditutup.

Pangkalan udara itu pertama kali dibina oleh AS untuk Afghanistan semasa era Perang Dingin pada tahun 1950-an tetapi Kesatuan Soviet yang kini Rusia kemudian mendudukinya selepas tentera negara komunis tersebut menceroboh Afghanistan pada tahun 1979.

Setelah pengunduran tentera Soviet, pangkalan udara tersebut dikawal oleh kerajaan yang disokong negara komunis itu tetapi kemudian beralih tangan kepada pentadbiran mujahidin semasa perang saudara di Afghanistan pada tahun 1990-an.

Pangkalan udara itu pernah jatuh kepada Taliban pada tahun 1990-an tetapi AS mengambil alih daripada kumpulan tersebut selepas menceroboh negara berkenaan pada Oktober 2001.

Terletak cuma 50 kilometer dari Kabul, pangkalan udara tersebut merupakan kunci keselamatan di ibu negara Afghanistan selain merupakan lokasi straregik untuk mengawal bahagian utara negara berkenaan.

Namun, tentera Afghanistan yang kini mengawal pangkalan udara itu bersedia untuk menghadapi serangan Taliban dengan salah seorang askar yang mahu dikenali sebagai Rafiullah berkata kepada AFP bahawa mereka tidak akan memberikan peluang kepada pihak yang cuba untuk menyerang pangkalan tersebut.

Dalam pertempuran yang berlaku di negara tersebut antara tahun 2009 hingga 2020, lebih 38,000 orang awam terkorban manakala lebih 70,000 lagi hilang tempat tinggal berdasarkan perangkaan daripada Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mula merekodkan secara sistematik angka kematian dan kecederaan pada tahun 2009. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!